JPBNS pantau rapi cuaca panas, jerebu dan risiko kebakaran di Sarawak

Facebook
WhatsApp
JPBNS pantau rapi cuaca panas, jerebu dan risiko kebakaran di Sarawak

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengambil perhatian serius terhadap keadaan cuaca panas dan kering serta situasi jerebu yang masih berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, JPBNS bersama agensi berkaitan terus melaksanakan pemantauan rapi terhadap perkembangan cuaca, kualiti udara, titik panas, risiko kebakaran hutan dan tanah gambut serta status sumber bekalan air negeri.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Cuaca Panas Sarawak hari ini sebanyak 18 lokasi telah dipantau dengan beberapa kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Kuching (191), Samarahan (175), IPD Serian (195), Sri Aman (178), Sarikei (154), Sibu (108), Lundu (180), Tebedu (169) dan Lubok Antu (191).

“Keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan berpotensi meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan kawasan terbuka selain memberi tekanan terhadap sumber bekalan air.

“Sehubungan itu, JPBNS akan terus memperkukuh pemantauan, kesiapsiagaan serta langkah pencegahan dan mitigasi khususnya di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Beliau berkata, dalam menghadapi keadaan jerebu dan cuaca panas ketika ini, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah, terutama apabila bacaan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat atau lebih tinggi.

“Golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau jantung juga dinasihatkan mengehadkan pendedahan kepada udara tercemar,” katanya.

Selain itu, aktiviti fizikal lasak dan sukan di luar hendaklah dielakkan sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.

“Orang ramai yang perlu berada di luar turut digalakkan menggunakan pelitup muka bersesuaian bagi mengurangkan pendedahan kepada partikel udara tercemar, selain mengawal pengudaraan di dalam bangunan serta menutup pintu dan tingkap apabila kualiti udara luar semakin tercemar,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memantau bacaan kualiti udara melalui sumber rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), mematuhi nasihat kesihatan pihak berkuasa serta melaporkan segera sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka.

“Selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, apabila bacaan IPU melebihi 100 atau berada pada tahap tidak sihat, semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan murid hendaklah dihentikan.

“Turut disarankan supaya semua aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan ditangguhkan, manakala sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta apabila bacaan IPU mencecah 200,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan sekolah-sekolah di bawah seliaannya bagi Daerah Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Serian, Samarahan, Simunjan, Sri Aman dan Lubok Antu ditutup berkuat kuasa serta-merta pada 20 hingga 21 Ogos 2026 berikutan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di kawasan berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini menerusi saluran rasmi kerajaan.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi mengurangkan risiko kesihatan, kebakaran serta kemerosotan kualiti udara sepanjang tempoh jerebu ini.

“JPBNS akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam memantau serta melaksanakan langkah pencegahan dan mitigasi terhadap situasi jerebu, cuaca panas dan risiko kebakaran berdasarkan keadaan serta tahap risiko semasa,” jelasnya.

Sultan Pahang berangkat tiba di Kuching

KUCHING: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat berangkat tiba di Terminal Orang Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching