SARATOK: Seorang lelaki dewasa cedera selepas terbabit dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah motosikal di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Ulu Lun, di sini, malam ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 8.03 malam.
Menurutnya, tiga anggota APM Saratok kemudian dikerahkan ke lokasi pada 8.05 malam dan tiba kira-kira 11 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati berlaku kemalangan kendiri membabitkan sebuah motosikal dan seorang mangsa lelaki dewasa.
“Mangsa mengalami luka dan calar pada kedua-dua lengan serta lutut, selain kecederaan pada kaki kanan, lebam di mata kanan dan calar pada bahagian dagu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan sedar ketika pasukan APM tiba di lokasi.

“Mangsa diberikan rawatan awal di dalam ambulans sebelum dibawa ke Hospital Saratok bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Mangsa tiba di Hospital Saratok pada 8.32 malam dan operasi APM selesai kira-kira dua minit kemudian.
Operasi berkenaan melibatkan tiga anggota APM dengan sebuah ambulans serta beg perubatan digunakan untuk membantu mangsa.
Jarak perjalanan sehala dari pangkalan APM Saratok ke lokasi kejadian adalah kira-kira 12 kilometer.
Oleh Adi Safarman





