DARO: Selepas 10 hari bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan, pasukan bomba akhirnya berjaya menamatkan operasi pemadaman di Kampung Kut selepas keseluruhan kawasan seluas 29 hektar berjaya dipadamkan sepenuhnya petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, operasi hari ke-10 itu melibatkan 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro yang digerakkan bersama agensi lain ke tiga sektor utama kawasan kebakaran.
Katanya, sektor A di belakang stesen minyak berhampiran rumah burung menggunakan satu Forest Pump dengan kekuatan lima anggota bomba.
“Sektor B pula membabitkan bahagian tengah kawasan kebakaran dengan tiga anggota bomba dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), manakala Sektor C berhampiran menara komunikasi Celcom melibatkan anggota bomba, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Daro dan PBS Pulau Bruit,” jelasnya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, pasukan di Sektor A menggunakan satu aliran dan nozzle sepanjang 300 kaki dengan sumber air daripada dam check yang digali, manakala Sektor B menggunakan satu aliran sepanjang 600 kaki dengan sumber air dari parit di tepi jalan utama.
Katanya, Sektor C pula menggunakan Forest Pump dengan 17 gulung hos sepanjang kira-kira 500 kaki, dengan sumber air dipam dari parit.
“Teknik ‘total flooding’ turut digunakan bagi mengekang api daripada merebak,” ujarnya.
Menurutnya, hasil pemantauan menggunakan Thermal Image Drone oleh NREB Mukah mendapati suhu kepanasan bawah tanah di kawasan yang terbabit kebakaran masih mencecah 43 darjah Celsius.
Beliau berkata, operasi berdepan beberapa kekangan termasuk liputan GIRN yang kurang memuaskan, cuaca kering dan panas menyebabkan api cepat merebak, kekurangan sumber air, akses jalan sempit serta tiupan angin.

“Selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya, satu taklimat diadakan di Pusat Kawalan Bomba (PKB) kepada semua agensi terlibat bagi memaklumkan status terkini operasi.
“Hasil perbincangan bersama pihak polis, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.30 petang dan PKB ditutup,” katanya.
Operasi turut disertai empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota APM, dua anggota PBS Daro dan dua anggota PBS Pulau Bruit.
Kebakaran hutan di Jalan Tanjung Gelang, Kampung Kut itu dilaporkan bermula pada 10 Ogos lalu sebelum merebak sehingga membabitkan kawasan seluas 29 hektar.
Oleh Akun Giman





