Bursa Malaysia dibuka rendah susulan aktiviti ambil untung dalam ketidaktentuan geopolitik

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu, dipengaruhi oleh aktiviti pengambilan untung selepas mencatat kenaikan pada sesi sebelumnya dalam persekitaran ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.

Pada 9.04 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 4.38 mata kepada 1,728.98 berbanding  1,733.36 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.39 mata kepada 1,731.97.

Keseluruhan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 219 berbanding 101 manakala 256 kaunter tidak berubah, 2,297 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 116.63 juta saham bernilai RM53.77 juta.

Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, pelabur terus memgambil langkah berwaspada berikutan pasaran berada dalam fasa pengumuman prestasi kewangan korporat.

“Kami mendapati prestasi kewangan syarikat setakat ini adalah memberangsangkan terutama bagi syarikat dalam sektor perladangan.

“Bagaimanapun, kami memilih untuk terus berhati-hati dan menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,725 hingga 1,735 mata hari ini,” menurutnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.60, CIMB Group turun tiga sen kepada RM7.92, Tenaga Nasional menyusut enam sen kepada RM14.36, IHH Healthcare rendah lapan sen kepada RM8.07 manakala Public Bank tidak berubah pada RM5.11.

Bagi saham paling aktif, TWL Holdings dan GIIB Holdings masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 39.5 sen, Zetrix AI meningkat 1.5 sen kepada 65 sen, Pentech Holdings menokok tiga sen kepada 32 sen dan Lotte Chemical Titan Holdings meningkat lima sen kepada 36 sen.

Antara saham paling untung, Dutch Lady Milk Industries melonjak RM1 kepada RM32.50, Hong Leong Bank menambah 20 sen kepada RM22.80, KPJ Healthcare meningkat sembilan sen kepada RM3.11 manakala Hengyuan Refining Company dan ITMAX System masing-masing naik lima sen kepada RM1.99 dan RM4.50.

Bagi saham paling rugi, Malaysian Pacific Industries dan Allianz Malaysia masing-masing susut 18 sen kepada RM47.84 dan RM22, Kelington Group dan Vitrox Corporation masing-masing menyusut 12 sen kepada RM8.88 dan RM9.32 dan Johor Plantations Group berkurangan sembilan sen kepada RM1.96.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 rendah 21.84 mata kepada 18,189.82, Indeks FBM Emas Shariah turun 31.28 mata kepada 12,635.46 dan Indeks FBM Emas menyusut 27.74 mata kepada 12,801.96.

Indeks FBM Top 100 pula berkurangan 27.69 mata kepada 12,616.85 dan Indeks FBM ACE merosot 13.56 mata kepada 5,287.62.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga menokok 0.46 mata kepada 778.87, Indeks Perladangan susut 13.84 mata kepada 9,362.84, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.41 mata kepada 189.02 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 18.11 mata kepada 20,289.88. – Bernama