APA-APA yang dilihat tidak semestinya berupa gambaran sebenar sesuatu situasi.
Begitu pertautan antara penglihat dengan daya persepsi. Apabila melihat sesuatu, persepsi pertama yang disalurkan ke otak sering menerbitkan persepsi luaran yang didasarkan daripada input-input yang tersimpan dalam minda sama ada daripada pengalaman-pengalaman sebelumnya mahupun gamitan putik deria.
Sebagai contoh mudah, anda pergi ke sebuah restoran atau kedai makanan untuk menjamu selera (mengambil kira latar masa sebelum PKPD). Anda memesan makanan yang berdasarkan menu yang diberikan oleh pelayan kepada anda. Apabila sampai makanan, anda dapati hidangan yang berada di hadapan anda jauh berbeza daripada gambaran yang dipaparkan dalam menu dan setelah merasainya, anda dapati pula hidangan berkenaan tidak sesedap yang anda harapkan berdasarkan persepsi ketika anda melihat menu yang disediakan. Gambaran yang menggamit deria rasa anda untuk memesannya.
Dalam situasi kedua, seorang lelaki tua berseluar pendek dan berbaju-T memasuki sebuah ruang pameran kereta mewah sambil berlegar-legar melihat model-model kereta yang dipamerkan. Namun, tidak seorangpun dalam kalangan jurujual yang bertugas berusaha untuk melayaninya. Persepsi pertama yang terbit dalam pemikiran kumpulan jurujual berkenaan terlaras pada tautan cara berpakaian atau penampilan lelaki berkenaan. Dalam konteks ini persepsi yang telah ‘terpateri’ dalam pemikiran mereka menautkan cara penampilan dengan status kewangan atau kedudukan mereka dalam strata keelitan masyarakat.
Dua contoh di atas memperlihat bagaimana sesuatu gambaran yang diperoleh daripada pandangan kaca mata menyalurkan input ke dalam otak yang menautkannya dengan input-input persepsi lazim dalam perpustakaan minda manusia. Penyaringan input yang diterima bergantung pada pendidikan secara formal atau informal yang diterima semasa proses pembesaran atau pematangan seseorang. Bagi individu yang terdidik untuk menerima, menyaring, menilai sesuatu input, tidak akan membuat pertimbangan secara melulu atau tergesa-gesa. Akan diterjah ruang dan pustaka minda untuk menimbang tara seadil-adilnya maklumat yang diperoleh.
Tidak dinafikan bahawa mutakhir, lahir ramai golongan cendekiawan dan cerdik pandai yang memiliki Ijazah, Ijazah Kedoktoran, menghadiri pelbagai bengkel, kursus, seminar mahupun simposium di samping membaca pelbagai buku tentang yang berupa sandaran terhadap prestasi masing-masing dalam ranah yang diceburi, akan tetapi kuasa minda berupa penentu untuk menghadirkan kejayaan atau kegagalan. Ilmu pengetahuan semata-mata bukan jaminan seseorang akan berjaya dalam kehidupan melainkan andai mereka mampu mengawal cara berfikir dan menzahirkan buah fikiran itu untuk kebaikan semua. Di samping itu, menyisihkan elemen negatif yang amat cenderung untuk melekat pada dinding emosi.
Norman Vincent Peale, penulis buku The Power of Positive Thinking menyatakan, “ubah cara berfikir anda dan anda akan mengubah dunia” (change your thoughts and you change the world). Hal yang sedemikian membawa pengertian bahawa jika seseorang mengubah cara pemikiran yang bersifat tipikal untuk menerjah ruang lingkup yang lebih luas serta menghasilkan gagasan idea yang bersifat postif dan membina, mampu menganjak bukan sahaja diri sendiri ke tahap yang lebih baik, malah mungkin mampu mencorakkan dunia. Melihat sisi yang lain, mengubah corak pemikiran turut mampu mengubah persepsi individu itu sendiri apabila mendepani sesuatu situasi.
David Cuschieri, penulis buku She Wrote Her Own Story pula menyatakan, “the mind is a powerful force, it can enslave us or empower us. It can plunge us into the depth of misery or take us to the heights of sctasy. Learn to use the power wisely”. Belaiu menyatakan bahawa minda memiliki kuasa hebat yang mampu memperhambakan atau menguatkanseseorang. Minda juga mampu melontarkan seseorang ke jurang kedukaan atau menganjak seseorang ke persada kejayaan. Lantaran itu, beliau menyarankan agar kuasa itu diperguna sebaik-baiknya.
Daripada kata-kata ini, dapat disimpulkan bahawa minda berupa jentera penjana yang mampu menghadirkan kuasa yang sama ada boleh mendatangkan kebaikan seandainya penyalurannya bertujuan untuk kebaikan, pun mendatangkan musibah dan keburukan sekiranya penyaluran tenaganya ibarat bom jangka yang menunggu masa untuk meletus dan membinasakan.
Tuntasnya, pilihan di tangan masing-masing sama ada untuk menerima yang terlihat, atau yang tersirat. Jana kuasa minda untuk menentukan pemilihan.