APABILA Yang di-Pertuan Agong berkenan memanggil ketua-ketua parti politik menghadap baginda baru-baru ini, maka timbul isu kononnya akan ditubuhkan kerajaan darurat sekiranya tempoh proklamasi darurat berakhir pada Ogos ini. Darurat bermula sejak 11 Januari awal tahun ini dan idea ini dicadangkan oleh Dr. Mahathir Mohamad agar penubuhan kerajaan atau kuasa baharu sama seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang pernah ditubuhkan pada tahun 1969.
Bagi Mahathir penubuhan MAGERAN pernah berjaya memberi penyelesaian kepada situasi politik negara pada suatu ketika dahulu. MAGERAN diperkenalkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika menjadi Perdana Menteri pertama manakala pula Tun Abdul Razak bertanggungjawab mengetuai MAGERAN.
Sekiranya diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong maka Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 akan terbubar dengan sendiri. Maka, Perdana Menteri perlu menyerahkan nama yang akan terlibat dalam majlis ini. Apabila Dr. Mahathir menawarkan bantuan untuk merealisasikan penubuhan ini maka timbul kritikan terhadap Mahathir.
Rata-rata rakyat melahirkan ketidakpuasan mereka kerana berpendapat bahawa Mahathir pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun dan kali kedua menjadi perdana menteri selama 22 bulan ketika era Pakatan Harapan, namun beliau sendiri meletak jawatan hingga terbentuk Perikatan Nasional. Malah Mahathir juga pernah menjadi perdana menteri interim sebelum PN terbentuk. Hal ini seolah-olah di negara ini tidak ada pemimpin pelapis yang layak menerajui negara dan seolah-olah Mahathir tidak melihat potensi kepimpinan negara. Sekiranya beliau berasa barisan pemimpin yang ada dalam pelbagai parti belum layak menerajui negara, bermakna tempoh 22 tahun menjadi perdana menteri beliau gagal membentuk barisan pelapis negara.
Isu Utama
Isu utama dihadapi negara ialah untuk meningkatkan usaha lebih baik dalam usaha negara membendung pandemik Covid-19 secara lebih berkesan di samping menjamin kestabilan politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Langkah yang perlu dipertingkatkan ialah melalui strategi pemberian vaksin yang lebih cepat dan memperoleh pelbagai pilihan vaksin dari pelbagai negara. Yang kedua ialah isu pembukaan parlimen bagi membolehkan segala isu berkaitan situasi semasa termasuk peruntukan, pelan pemulihan ekonomi, impak pandemik terhadap permasalahan rakyat dan sebagainya dapat dibincangkan secara telus dan memastikan amalan semak dan imbang berlangsung dengan lebih telus seterusnya dapat menyuburkan amalan demokrasi di negara ini. Pendek kata, ia adalah untuk memastikan tadbir urus kerajaan kembali seragam, tiada pertindihan kuasa serta kecelaruan hala tuju dalam memastikan pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi dapat ditangani sebaik mungkin.
Ramai juga berpandangan bahawa darurat perlu ditamatkan pada Ogos ini kerana jika dilanjutkan pelabur kurang yakin untuk melabur kerana bimbang urusan niaga dan perjanjian undang-undang mereka tidak sah ketika darurat berlangsung. Tambahan pula, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar dilihat mampu mengekang dan menangani penularan pandemik Covid-19.
Kesemua aspek yang berlaku ini tidak melibatkan masalah konflik antara etnik sebagaimana MAGERAN 1969. Cara ini juga bukan dapat menyelesaikan masalah parti-parti politik yang tidak ada sokongan majoriti secukupnya di Parlimen, sebaliknya perlu bersemuka di parlimen dan membincangkan sokongan sebenar terkini bagi menentukan nasib politik masing-masing. Malah apabila imuniti kelompok terhasil dengan penerimaan 80 peratus vaksin dalam kalangan rakyat negara maka penyelesaian melalui pilihan raya ialah penyelesaian terbaik untuk mendapat mandat rakyat sebenar.
Sudah tentu isu pemusatan kuasa timbul apabila MAGERAN terbentuk sedangkan sepatutnya kabinet perlu berfungsi dan jikalau kabinet kurang berfungsi boleh sahaja digantikan dengan baharu. Rombakan kabinet, pembukaan parlimen, malah perubahan tampuk kepimpinan dan kerajaan, boleh bertukar asalkan berlandaskan prinsip amalan demokrasi.
Pembentukan MAGERAN 1969 berlaku ketika kerajaan masih belum dibentuk dan ini mewajarkan pembentukan majlis tersebut. Apabila kerajaan sudah dibentuk, proses demokrasi semakin matang dan malah tahap kecelikan politik semakin tinggi, maka idea pembentukan majlis seumpama itu akan dianggap lapuk, ketinggalan zaman, tidak sesuai lagi untuk dihidupkan semula. Sudah 52 tahun idea lama tersebut dan sesuai perkembangan geopolitik, sosioekonomi dan sosial dunia, banyak lagi langkah yang lebih relevan boleh dilakukan.
Yang berlaku dalam dunia global sekarang adalah untuk mendapat mekanisme yang mampu mempertingkat kecekapan dalam menangani isu pandemik dan pengurusan ekonomi dan politik negara yang mampu membawa negara bergerak ke depan serta mendapat keyakinan pelabur luar untuk melabur ke dalam negara ini. Selagi isu ketidakcekapan ini kurang ditangani maka situasi sukar berubah.
Motif Politik
Hakikatnya kumpulan pakar bidang yang dicadangkan dalam penubuhan seperti MAGERAN 69 akan menghakis tadbir urus yang telus apabila tidak perlu menjawab kepada pengundi atau perbahasan dalam sidang parlimen. Maka akan berlaku situasi tidak ada mekanisme untuk mengawal pakar lantikan berkenaan atau mempertanggungjawabkan mereka atas sebarang kegagalan. Dalam konteks amalan demokrasi wakil rakyat akan dihukum oleh pengundi jika gagal memainkan peranan sedangkan yang dilantik sebagai pakar itu ‘bebas datang dan pergi’ tanpa perlu bertanggungjawab kepada pengundi.
Hal ini bermakna tindakan ini seolah-olah mahu mengetepikan wakil pilihan rakyat seterusnya melemahkan sistem demokrasi. Tanpa pembabitan ahli politik secara langsung ini sebenarnya menghakis mandat rakyat dalam demokrasi. Yang bertanggungjawab ialah wakil rakyat yang dipilih secara sah dan merupakan mandat rakyat yang perlu dihormati sesuai dengan semangat perlembagaan negara.
Menurut temubual Mahathir dengan sebuah portal, hanya seorang ahli politik menganggotai dan mengetuai badan pakar lantikan yang akan menguasai kerajaan itu. Sudah tentu apabila Mahathir menawarkan bantuan, maka beliau dilihat berminat untuk mengisi sendiri jawatan tersebut. Justeru, saranan menubuhkan Majlis Pemulihan Negara bermotifkan politik semata-mata yang hanya menguntungkan pihak yang mencadang dan yang ingin mengetuainya. Cadangan ini juga dilihat sebagai satu cubaan Mahathir untuk kembali berkuasa dan menyekat pengaruh musuh politiknya Anwar Ibrahim daripada bangkit.
Maka, pelaksanaan majlis tersebut dilihat akan menutup ruang untuk membentuk kerajaan peralihan selepas darurat dijangka tamat pada Ogos. Sudah sewajarnya sebuah pembentukan kerajaan lebih stabil perlu ada selepas darurat tamat seawal Ogos dan melibatkan pelbagai parti sebagai kerajaan peralihan sehingga penggal parlimen tamat 2023.
Untuk rekod, parti Bersatu sendiri menolak idea ini. Begitu juga parti UMNO, PAS dan Pakatan Harapan yang menolak cadangan tersebut. Gagasan ini akan memperlihatkan tahap dan nilai populariti cadangan dan kepimpinan Mahathir sama ada masih relevan dalam arus politik perdana masa kini atau semakin pudar dalam kalangan rakyat di negara ini. Sekali gus, memperlihatkan kebijaksanaan Yang di-Pertuang Agong dalam menangani keluh resah rakyat dalam berdepan dengan pandemik Covid-19 dan impaknya terhadap ekonomi rakyat. Pada masa yang sama memastikan amalan demokrasi terus terpelihara.