Generasi celik al-Quran, ilmu dan teknologi perlu dibentuk – Awang Tengah

Facebook
WhatsApp
JOHAN QARI...Awang Tengah menyampaikan hadiah kepada johan qari Mazlan Matzin selaku johan tilawah al-Quran peringkat Daerah Lawas.

LAWAS: Anak Sarawak yang ingin berjaya perlu menjadi generasi yang celik al-Quran serta memiliki nilai murni sebagai insan berkualiti, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, generasi yang mempunyai pengetahuan tinggi tetapi tidak memiliki nilai murni dan asas kerohanian yang kukuh akan mudah terpengaruh serta tenggelam dalam cabaran dunia.

Justeru, katanya, generasi hari ini perlu terus dibekalkan dengan pedoman dan ajaran yang disampaikan Allah melalui al-Quran.

CELIK AL-QURAN…Awang Tengah bersama pemenang bahagian qariah peringkat Daerah Lawas.

“Jadilah generasi yang celik al-Quran dan pada masa yang sama celik ilmu, teknologi dan ekonomi. Jadilah generasi yang berani mengejar kejayaan tetapi tidak mengorbankan prinsip, akhlak dan integriti.

“Kita mahu anak-anak kita di Lawas ini mempunyai cita-cita yang tinggi. Rebutlah peluang pendidikan dan pembangunan yang tersedia. Lengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran. Beranilah meneroka bidang baharu serta menyumbang kembali kepada keluarga, masyarakat dan negeri kita.

“Selaras dengan tema ‘Ummah Maju Makmur’, kita mahu kemajuan Lawas bergerak seiring dengan pembangunan rohani — maju ekonominya, tinggi ilmunya, luhur akhlaknya, kukuh perpaduannya serta sentiasa menjadikan al-Quran sebagai pedoman kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Lawas di Kampung Pemukat, Kuala Lawas, malam tadi.

PENDAMPING AL-QURAN…Awang Tengah bersama barisan pemenang bahagian qari peringkat Daerah Lawas.

Seramai 13 qari dan qariah menyertai majlis tilawah yang berlangsung selama dua malam itu.

Mazlan Matzin muncul johan qari, manakala Suriah Jinin dinobatkan sebagai johan qariah.

Kedua-duanya akan mewakili Daerah Lawas ke peringkat Bahagian Limbang.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok; Pengarah Agensi Pembangunan Utara Sarawak, Datu Ubaidillah Latip; Temenggong Rosli Majid serta kenamaan lain.

Oleh Adeng Edrus