KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memastikan amanah umat Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pindaan itu merupakan antara langkah Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tatakelola dan memastikan setiap kelemahan institusi diperbetulkan dengan tegas.
“Tatakelola mesti terus diperkukuh, institusi dibersihkan dan setiap kelemahan diperbetulkan dengan tegas. Akta Tabung Haji akan dipinda demi memelihara amanah umat Islam.
“… manakala AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) 1971 mesti dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang terus mengongkong suara mahasiswa,” kata beliau menerusi hantaran Facebook hari ini
.Dalam hantaran sama, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI di bawah pimpinan beliau akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik tanpa mengira latar belakang politik atau negeri.
Beliau berkata rakyat di negeri yang ditadbir pembangkang juga wajar dibela kerana amanah kerajaan bukan hanya kepada penyokong atau negeri tertentu tetapi kepada seluruh rakyat dan negara.
Bersempena dengan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026 yang melabuhkan tirai hari ini, Anwar yang juga Presiden PKR berkata parti itu memilih jalan prinsip, idealisme dan keberanian melakukan perkara yang benar, dengan tidak akan menggadaikan prinsip atau mengkhianati cita-cita reformasi semata-mata demi mempertahankan kuasa.
Beliau menegaskan PKR perlu kekal sebagai wadah perjuangan untuk semua merentas kaum, agama dan wilayah dengan prinsip keadilan dibuktikan melalui dasar serta tindakan.
“Kekuatan Keadilan bergantung pada saf yang bersih, kepimpinan yang teguh dan gerak kerja yang tersusun. Kuasa bukan alat untuk memperkaya diri, keluarga atau kroni, tetapi amanah untuk membela rakyat, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat insan.
“Rapatkan barisan, perkemas gerak kerja dan terus mara demi rakyat dan negara,” kata beliau. – Bernama





