Lima rumah pekerja di Jeti Semaram musnah terbakar

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman dan ‘overhaul’ selepas lima unit rumah pekerja di Jeti Semaram, Kanowit musnah sepenuhnya dalam kebakaran semalam. Foto BBP Sibu Jaya

KANOWIT: Lima unit rumah pekerja di Jeti Semaram, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.57 petang.

Katanya, susulan laporan berkenaan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dikerahkan ke lokasi dengan bantuan BBP Sibu Jaya.

“Jentera tiba di lokasi pada 7.07 malam dan kebakaran berjaya dikawal seminit kemudian, iaitu pada 7.08 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan lima unit rumah pekerja yang masing-masing berkeluasan kira-kira 40 x 30 kaki.

“Kesemua struktur rumah berkenaan merupakan binaan tidak kekal dan musnah 100 peratus dalam kebakaran,” katanya.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Operasi pemadaman turut melibatkan penggunaan dua aliran salur bantu mula bagi menjalankan kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa kebakaran (overhaul) serta memastikan tiada lagi punca api atau bara yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.