DARO: Sebanyak 25 hektar daripada keseluruhan 29 hektar kawasan hutan yang terbakar di Kampung Kut, Daro berjaya dipadamkan setakat operasi hari ketujuh hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan operasi pemadaman bagaimanapun masih diteruskan bagi memadam baki kawasan seluas empat hektar yang masih belum dipadam sepenuhnya.
Operasi hari ketujuh bermula pada 8.40 pagi apabila Komander Operasi, PBK I Abu Hady Bin Harry bersama 12 anggota bergerak ke lokasi menggunakan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat Kompak (CFRT) serta dua kenderaan pacuan empat roda Hilux.
“Pasukan tiba di lokasi pada 8.50 pagi sebelum taklimat operasi disampaikan pada 9.00 pagi.
“Pada 9.20 pagi, pasukan dibahagikan kepada tiga sektor bagi melaksanakan operasi pemadaman,” katanya dalam satu laporan hari ini.
Mengulas lanjut, sektor satu melibatkan kawasan belakang stesen minyak dengan kekuatan tiga anggota bomba dan dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), manakala sektor dua di jalan besar melibatkan tiga anggota bomba dan seorang anggota APM.

“Sektor tiga pula berhampiran menara telekomunikasi, melibatkan tiga anggota bomba serta tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Daro/Pulau.
“Operasi pemadaman diteruskan sehingga 5.00 petang dengan bantuan dua jengkaut yang digunakan untuk membuat jalur pemisah api bagi menghalang api daripada terus merebak,” jelasnya.
Menurut JBPM Sarawak, penggunaan sumber air daripada parit dan empangan kawalan turut membantu melancarkan kerja pemadaman.
“Antara cabaran operasi ialah liputan Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) yang kurang memuaskan, cuaca panas dan kering yang menyebabkan api cepat merebak, kekurangan sumber air serta akses jalan yang sempit.
“Operasi turut dibantu lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota APM, tiga pekerja kontraktor jengkaut dan tiga anggota PBS,” ujarnya.
Operasi pemadaman kebakaran hutan di Kampung Kut yang dilaporkan pada 10 Ogos lalu akan disambung semula esok bagi meneruskan usaha memadam baki kawasan seluas empat hektar yang masih terbakar.





