Indonesia perkukuh usaha tangani kebakaran hutan, tanah

Facebook
WhatsApp
KENYATAAN media Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Kuching berhubung usaha bersepadu Indonesia dalam mencegah dan menangani kebakaran hutan serta tanah susulan kebimbangan terhadap perkembangan kualiti udara di Sarawak.

KUCHING: Kerajaan Indonesia terus mempergiat usaha mencegah dan memadam kebakaran hutan serta tanah di kawasan terjejas susulan kebimbangan penduduk Sarawak berhubung perkembangan kualiti udara ketika ini.

Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Kuching berkata, pelbagai langkah dilaksanakan secara berterusan termasuk rondaan amaran awal, pengerahan pasukan pemadaman di darat, operasi pengeboman air dan pengubahsuaian cuaca menerusi pembenihan awan.

Usaha itu turut disokong penguatkuasaan undang-undang secara tegas terhadap pihak yang melakukan pembakaran secara haram.

Menurut KJRI Kuching, semua langkah bersepadu itu dilaksanakan sepanjang masa bagi melindungi masyarakat, memelihara ekosistem serta mengurangkan kesan kebakaran terhadap kawasan terjejas.

“KJRI Kuching mengakui kebimbangan yang dibangkitkan penduduk Sarawak berhubung perkembangan kualiti udara baru-baru ini.

“Sebagai negara jiran yang mempunyai hubungan persahabatan, sempadan bersama dan hubungan dua hala yang kukuh, Indonesia amat mementingkan kesihatan, kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat di Sarawak serta Indonesia,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan KJRI Kuching hari ini sebagai respons terhadap kebimbangan berhubung keadaan kualiti udara di Sarawak.

Dalam pada itu, Kerajaan Indonesia kekal komited memperkukuh komunikasi, perkongsian maklumat dan kerjasama serantau dengan semua pihak berkepentingan, termasuk menerusi kerangka Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Menurut KJRI Kuching, kerjasama berkenaan penting bagi memperkukuh strategi pencegahan bersama, meningkatkan penyelarasan serantau serta mengurangkan potensi kesan alam sekitar dan sosioekonomi akibat jerebu rentas sempadan.

“KJRI Kuching terus memantau perkembangan situasi dengan rapat dan secara aktif menyelaras dengan pihak berkuasa serta pihak berkepentingan berkaitan di Sarawak,” tambahnya.

KJRI Kuching turut berharap usaha bersepadu yang dilaksanakan kedua-dua negara dapat membuahkan hasil positif dalam masa terdekat supaya kualiti udara dan aktiviti harian di Sarawak serta kawasan sekitarnya kembali pulih seperti biasa.