SERIAN: Penduduk Kampung Krusen Kranji bakal menikmati laluan perhubungan yang lebih selamat dan selesa menerusi pelaksanaan projek pembinaan jalan alternatif baharu bernilai RM800,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, majlis pecah tanah Projek Bencana telah diadakan di kampung berkenaan sebagai tanda bermulanya pelaksanaan projek sepanjang 200 meter itu.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan pembinaan tiga unit kotak pembetung berukuran 1.5 meter tinggi dan 1.5 meter lebar, selain pembinaan parit tertutup sepanjang jalan baharu berukuran 1.2 meter tinggi dan satu meter lebar.
“Jalan alternatif ini akan dibina menggunakan turapan bagi memastikan laluan yang lebih baik dan selamat kepada penduduk setempat,” katanya.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian merupakan agensi pelaksana bagi projek berkenaan.
Dr. Simon berkata, projek tersebut amat penting bagi menyediakan laluan alternatif kepada penduduk, khususnya sebagai pengganti kepada jalan lama yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir pada Januari tahun ini.
Pelaksanaan projek itu diharap dapat memperkukuh kemudahan perhubungan dan meningkatkan aksesibiliti penduduk Kampung Krusen Kranji.
Pada masa sama, kemudahan baharu berkenaan dijangka memberi manfaat besar dari aspek keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan komuniti setempat, terutama ketika berdepan keadaan cuaca dan bencana yang boleh menjejaskan laluan sedia ada.
Oleh Adi Safarman



