SPAOH: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran kebun di Kampung Bungin, di sini, semalam.
Menurut kenyataan media APM Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 12.53 tengah hari berhubung kejadian kebakaran kebun milik seorang pengadu di kampung berkenaan.
Susulan laporan itu, Skuad Alpha APM Spaoh diketuai Sarjan Hasla Deli bersama tiga anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
Menurut kenyataan itu, kebakaran berjaya dikawal sebelum dipadamkan sepenuhnya hasil tindakan pantas pasukan berkenaan.

“Kebakaran kebun milik pengadu berjaya dikawal serta dipadamkan dan operasi selesai sepenuhnya pada 2.45 petang,” katanya.
Operasi turut mendapat bantuan enam anggota Bomba Sukarela serta penduduk kampung yang bersama-sama membantu memastikan api tidak terus merebak.
APM Spaoh dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka terutama ketika cuaca panas dan kering yang boleh meningkatkan risiko kebakaran tidak terkawal.

Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada PKOD APM Spaoh melalui talian 24 jam di 083-473006 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman





