Kebakaran hutan Kejatau-Lingga seluas 80 hektar berjaya dipadam sepenuhnya

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN hutan di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas tujuh hari operasi.

SRI AMAN: Keseluruhan kawasan kebakaran hutan seluas 80 hektar di Jalan Kejatau-Lingga, di sini berjaya dipadamkan selepas operasi memasuki hari ketujuh hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan operasi pemadaman ditamatkan pada 12.10 tengah hari tadi selepas keseluruhan kawasan terbabit berjaya dipadamkan pihak bomba dan juga bantuan cuaca hujan semalam.

“Operasi hari ketujuh bermula pada 7.30 pagi dengan pasukan bomba bertolak ke lokasi sebelum tiba pada 7.45 pagi.

“Setibanya di lokasi, pasukan menjalankan taklimat dan pembahagian tugas pada 7.50 pagi sebelum meneruskan kerja-kerja pemadaman,” katanya dalam satu laporan hari ini.

ANGGOTA bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman yang mengambil masa tujuh hari untuk dipadamkan sepenuhnya.

Mengulas lanjut, operasi diketuai PBK I Chimiam Duyu selaku Komander Operasi dan melibatkan 18 anggota bomba.

“Aset yang digunakan terdiri daripada sebuah Lori Hicom, dua kenderaan Hilux dan sebuah tangki air.

“Antara cabaran sepanjang operasi ialah kekurangan sumber air terbuka seperti parit, selain keadaan angin kencang yang menyebabkan api cepat merebak.

“Akses jalan yang sempit turut menyukarkan pergerakan pasukan dan aset ke kawasan kebakaran,” jelasnya.

Jelasnya, kebakaran berkenaan dilaporkan pada 10 Ogos lalu dan melibatkan kawasan seluas 80 hektar.

“Selepas tujuh hari operasi pemadaman dijalankan, keseluruhan kawasan seluas 80 hektar berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 12.10 tengah hari tadi.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan,” ujarnya.

Turut membantu operasi ialah lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima anggota Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama empat jengkaut, tiga pekerja ladang serta empat anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS).