SIBU: Hujan lebat tidak menghalang seramai 886 peserta menyertai Larian Amal Bersama Bomba 1.0 yang julung kali dianjurkan di Sibu, hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata sambutan menggalakkan itu membuktikan masyarakat memberikan sokongan terhadap penganjuran program berkenaan meskipun berdepan keadaan cuaca kurang baik.
“Larian kita hari ini menawarkan dua kategori, iaitu larian sejauh 10 kilometer dan tiga kilometer.
“Walaupun hujan pada pagi ini, kita tetap meneruskan larian dengan sokongan peserta,” katanya kepada pemberita selepas program itu di BBP Sungai Merah, hari ini.
Menurutnya, program berkenaan sebelum ini telah dianjurkan di Bintulu, Miri dan Limbang, manakala penganjuran di Kuching akan menyusul kemudian.

“Bagaimanapun, program di Kuching masih ditangguhkan sementara kerana kita mempunyai beberapa lagi program kebombaan yang akan dilaksanakan pada September ini,” katanya.
Tiong berkata penganjuran larian itu bukan bertujuan mencari keuntungan, sebaliknya hasil yang diperoleh akan disumbangkan kepada badan-badan amal yang dikenal pasti, termasuk Sarawak Cancer Society.
Di samping itu, katanya, program tersebut turut menjadi platform untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, di samping menyemarakkan semangat melakukan kerja amal.
“Kita menggalakkan masyarakat menjalani aktiviti sihat, dalam masa sama dapat melakukan kerja-kerja amal. Itu merupakan tujuan utama program ini dan bukannya untuk mencari keuntungan,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting





