SARIKEI: Usaha membantu menambah bekalan darah Hospital Sarikei diteruskan menerusi Kempen Derma Darah yang berjaya menarik penyertaan 24 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, program anjuran Hospital Sarikei dengan kerjasama APM Daerah Sarikei tersebut dijalankan di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sarikei.
Katanya, daripada keseluruhan peserta yang hadir, seramai tujuh individu melepasi saringan kesihatan dan berjaya menderma darah.
“Program ini menerima kehadiran seramai 24 penderma yang terdiri daripada anggota APM dan orang awam.
“Daripada jumlah tersebut, seramai tujuh orang berjaya menderma darah manakala 17 orang tidak melepasi saringan kesihatan,” katanya ketika dihubungi.

Shahrol berkata, peserta turut berpeluang menjalani pemeriksaan tekanan darah dan hemoglobin sebagai sebahagian daripada langkah pemantauan tahap kesihatan.
“Kempen ini bertujuan membantu menambah bekalan darah di hospital serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah secara berkala.
“Penglibatan anggota APM bersama masyarakat dalam program ini turut mencerminkan semangat kesukarelawanan dalam membantu mereka yang memerlukan bekalan darah.
“Alhamdulillah, pelaksanaan program berjalan lancar dengan kerjasama baik daripada semua yang terlibat,” katanya.
Oleh Earl Anek



