BEKENU: Tindakan mengejut dilakukan oleh penguatkuasa Majlis Daerah Subis (MDS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam kelmarin adalah tepat terhadap peniaga yang ingkar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Menurut penguatkuasa MDS, tindakan dengan mengeluarkan kompaun ke atas sebuah kedai (peniaga) terpaksa dilakukan kerana melakukan kesalahan berurus niaga lebih masa seperti yang ditetapkan oleh kerajaan melalui SOP.
Katanya, penguatkuasa MDS yang dibantu oleh PDRM tidak teragak-agak untuk bertindak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana peniaga yang ingkar peraturan.
“Operasi mengejut dan rondaan ini telah disertai oleh beberapa anggota PDRM dari Bekenu dan Batu Niah.
“Operasi mengejut bermula pada 8.00 malam kelmarin melibatkan lebih 10 anggota penguatkuasa MDS dengan menggunakan empat kenderaan”, jelasnya.
Sehubungan itu, juga didapati banyak peniaga (kedai) di kawasan-kawasan rondaan mengikut arahan SOP.
Operasi mengejut ini sebagai usaha kerajaan mengekang penularan dan memutus rantaian wabak Covid-19 yang bahaya kepada semua pihak, tambahnya.
Utusan Sarawak difahamkan rondaan mengejut telah dilakukan di Pekan Bekenu, Simpang Bekenu, Sepupok Niah dan Batu Niah.
Justeru, semasa tempoh , pihak berkuasa akan melakukan rondaan dan operasi mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan bahawa semua perniagaan dan orang ramai mematuhi SOP sepenuhnya untuk pencegahan pandemik Covid-19.
Oleh ADUM LIU