SIMANGGANG: Operasi memadam kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga di sini memasuki hari keenam hari ini, dengan pasukan bomba berjaya memadam sekitar 65 hektar daripada keseluruhan 80 hektar kawasan yang terbakar.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), operasi pada hari keenam bermula seawal 7.30 pagi apabila pasukan bomba bertolak ke lokasi sebelum tiba pada 7.45 pagi.
Seramai 18 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Chimiam Duyu, selain turut disertai pegawai kanan Zon 3, TPgB II Ahmad Dollah.

Operasi pemadaman dibahagikan kepada empat kumpulan bagi menumpukan usaha di beberapa sektor kebakaran menggunakan pam GP 10/10 dan pam forest fire dengan sumber air terbuka.
Pasukan turut menggunakan kaedah water flooding dan pembinaan fire break bagi mengawal pergerakan api, terutama berikutan keadaan cuaca berangin yang menyebabkan api mudah merebak.
Pada 10.30 pagi, wakil Pusat Khidmat Rakyat P202 Sri Aman turut hadir meninjau serta menyantuni pasukan dan pihak yang terlibat dalam operasi pemadaman.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula membawa sebuah dron ke lokasi pada 1.50 petang bagi membantu pemantauan kawasan kebakaran, manakala operasi pemadaman diteruskan dengan tumpuan kepada kawasan antara sektor tiga dan empat.

Bagaimanapun, usaha pasukan berdepan beberapa kekangan termasuk kekurangan sumber air terbuka seperti parit, tiupan angin kencang yang mempercepatkan penyebaran api serta keadaan jalan yang sempit dan menyukarkan pergerakan aset.
Selain JBPM, operasi turut mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan lima anggota, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) seramai lima anggota bersama empat jengkaut, tiga pekerja ladang serta empat anggota JAS.
Sehingga 6.00 petang, operasi ditangguhkan dan akan disambung semula esok bagi meneruskan usaha memadam baki sekitar 15 hektar kawasan yang masih terbakar.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
Oleh Adi Safarman




