Kualiti generasi belia hari ini penentu masa depan Sarawak – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak berucap pada Perasmian Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: Golongan belia diseru untuk berani meneroka bidang yang belum pernah diterokai kerana generasi hari ini bakal menggantikan kepimpinan sedia ada dan menentukan hala tuju Sarawak pada masa akan datang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keberanian itu perlu disertai penggunaan maklumat dan data bagi menghasilkan idea baharu serta menambah nilai kepada pembangunan negeri.

“Pemimpin bertukar ganti. Hari ini kami dalam kerajaan, esoknya anak-anak generasi kini dalam kerajaan.

“Kalau mahu melihat masa depan negara, lihatlah belia hari ini, kalau belia hari ini hebat, hebatlah masa depan Sarawak.

SIMBOLIK Perasmian Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan.

“Sambungkanlah, letakkanlah Sarawak sebagai wilayah termaju di Malaysia dan juga yang terbaik di rantau Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.

Abang Johari berkata, kemampuan belia Sarawak bersaing di peringkat antarabangsa sudah dapat dilihat menerusi kejayaan sekumpulan murid dari Sekolah Batu Bungan, Baram yang muncul juara pertandingan berkaitan kecerdasan buatan (AI) di Hong Kong.

Beliau turut menyentuh pencapaian sukan apabila Kuching FC kini beraksi di peringkat Asia, manakala Sarawak muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Dalam bidang pendidikan, Abang Johari berkata, kerajaan menyediakan RM260 juta tahun ini bagi pelaksanaan Pendidikan Universiti Percuma untuk anak Sarawak.

LAFAZ ikrar sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan. 

Tambah beliau, peluang pendidikan itu membolehkan golongan muda mengikuti bidang pengajian baharu yang selari dengan keperluan ekonomi dan teknologi.

Pada masa sama, jelasnya, kerajaan menyediakan geran dan pinjaman RM28 juta menerusi TUNAS bagi membantu golongan muda memulakan perniagaan serta membangunkan usahawan baharu berasaskan teknologi.

Abang Johari turut mengingatkan belia supaya menggunakan teknologi dan AI secara bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakannya untuk penipuan dan buli.

Golongan belia juga diingatkan supaya memanfaatkan peluang yang tersedia untuk membina masa depan serta menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 menjadi platform menghimpunkan belia dari seluruh negeri bagi meraikan potensi, bakat, kreativiti dan pencapaian golongan muda, selain memperkukuh jaringan serta membuka peluang untuk mereka berkembang dan menyumbang kepada pembangunan negeri.

Bertemakan ‘Belia Aspirasi Kita’, sambutan tahun ini memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, kebolehpasaran, keusahawanan, kreativiti, inovasi dan penglibatan komuniti menerusi pengisian seperti Youth Champion, Youth Expo, Youth X-Tive dan Youth Marketplace.

Oleh Masrin Affirah