BINTULU: Sebanyak 618 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) yang dilaksanakan oleh Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) kini telah beroperasi sepenuhnya di seluruh Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pencapaian itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak memperluas liputan internet, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.3 bilion menerusi program intervensi bagi melengkapkan kemudahan yang disediakan kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kita tahu misalnya MCMC ada Program JENDELA Satu, sebanyak 636 menara di seluruh kawasan luar bandar Sarawak.
“Tetapi untuk mempercepat dan membolehkan liputan itu lebih luas di kawasan luar bandar Sarawak, kerajaan Sarawak telah membuat satu program intervensi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Connecting Jepak yang berlangsung di Promenade Hotel Bintulu di sini, hari ini.
Julaihi berkata, usaha memperluas liputan internet perlu diteruskan mengambil kira keluasan Sarawak serta keadaan muka buminya yang mencabar.

Menurutnya, masih terdapat kawasan titik buta, khususnya di laluan Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Pesisir termasuk jambatan dan Jalan Utama Kedua yang memerlukan penambahbaikan liputan.
Beliau berkata, perkara itu sedang dikenal pasti bersama MCMC, SDEC dan SACOFA bagi memastikan liputan internet dapat diperluaskan ke kawasan berkenaan.
Sementara itu, Program Connecting Jepak menyediakan kemudahan jalur lebar berasaskan satelit kepada 74 rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Program berkenaan melibatkan pemasangan Starlink oleh SDEC kepada 74 rumah panjang bagi meningkatkan capaian internet penduduk di kawasan berkenaan.
ADUN Jepak, Iskandar Turkee berkata, pelaksanaan Program Connecting Jepak susulan maklum balas penduduk yang berdepan kesukaran mendapatkan capaian internet yang stabil.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya sering menerima maklum balas daripada penduduk setempat tentang kesukaran mendapatkan capaian internet yang stabil.
“Ada anak yang perlu mencari lokasi tertentu untuk mendapatkan kualiti internet yang bagus, hanya untuk mengikuti pembelajaran atau menghantar tugasan dalam talian.
“Ada perniagaan kecil yang tidak dapat mengurus tempahan dan pembayaran dengan lancar. Dalam keadaan kecemasan pula, kelewatan untuk menghubungi keluarga atau pihak berkuasa boleh menimbulkan kebimbangan yang besar,” katanya.
Beliau berkata, isu kesalinghubungan di kawasan Jepak telah dibawa untuk perhatian dan tindakan pihak berkaitan sehingga membawa kepada pelaksanaan Program Connecting Jepak.
Menurutnya, kemudahan jalur lebar berasaskan satelit itu membolehkan akses internet disediakan di lokasi yang sukar dicapai rangkaian gentian optik atau infrastruktur telekomunikasi konvensional.
Iskandar berkata, kemudahan itu perlu disusuli usaha meningkatkan kemahiran digital masyarakat termasuk latihan digital, sokongan kepada usahawan, pendedahan keselamatan siber serta program pembelajaran komuniti.
Oleh Carolyne Utih





