FTES buka ruang pelajar Sibu teroka peluang pendidikan percuma

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM…Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying merakam kenangan bersama pelajar yng hadir pada Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.

SIBU: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membuka peluang kepada pelajar di Sibu untuk melanjutkan pengajian tinggi tanpa perlu menanggung yuran pengajian, sekali gus membantu mereka merancang hala tuju pendidikan dan kerjaya selepas tamat persekolahan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES 2026 memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pilihan institusi pengajian, tajaan pendidikan dan laluan kerjaya yang bersesuaian dengan minat serta kelayakan mereka.

Menurutnya, pemilihan kerjaya merupakan keputusan penting yang perlu dibuat berdasarkan pengetahuan dan maklumat yang mencukupi bagi membantu pelajar menentukan hala tuju masa depan.

“Pada umumnya, proses pemilihan kerjaya bermula ketika seseorang itu masih di bangku sekolah.

“Dilema dalam memilih mata pelajaran yang sesuai sebagai asas untuk sesuatu bidang kerjaya boleh menjadi rumit dan memberi tekanan kepada pelajar sekiranya tidak disertai pengetahuan yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying ketika merasmikan Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, pemilihan jurusan selepas tamat persekolahan akan mempengaruhi laluan kerjaya seseorang, justeru keputusan yang dibuat perlu mengambil kira minat, kebolehan dan prospek masa depan.

Katanya, ekspo tersebut turut memberi pendedahan mengenai peluang pendidikan tajaan Yayasan Sarawak melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD).

Sebanyak 27 agensi mengambil bahagian dalam pameran itu, melibatkan reruai daripada institusi pendidikan, agensi kewangan dan agensi berkaitan, manakala pelajar daripada 22 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional hadir bagi mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pengajian.

Dalam perkembangan sama, Dr Annuar menegaskan bahawa penguasaan teknologi dan kemahiran digital amat penting bagi mempersiapkan generasi muda menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Oleh Tarani Lanting