PUTRAJAYA: Malaysia tidak merekodkan peningkatan ketara kes penyakit berkaitan jerebu setakat ini, namun Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan perkara itu boleh berlaku sekiranya kualiti udara bertambah buruk atau keadaan jerebu berlarutan.
Menurut Sektor Kesihatan Persekitaran dan Perubahan Iklim, Bahagian Kawalan Penyakit KKM dalam kenyataan kepada Bernama, pada masa ini, tiga jenis penyakit berkaitan jerebu yang dipantau melalui Fasiliti Kesihatan Sentinel, iaitu Upper Respiratory Tract Infection (URTI), asma dan konjunktivitis, tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
“Setakat ini, tiada peningkatan ketara kemasukan ke hospital atau kes kecemasan yang dikaitkan dengan jerebu … melalui pemantauan yang dibuat setakat ini juga, tiada negeri menunjukkan peningkatan ketara jika dibandingkan dengan keadaan sebelum jerebu,” menurut kenyataan itu hari ini.
Bagaimanapun, KKM masih meneruskan pemantauan dan mengambil tindakan sewajarnya dalam merawat pesakit sekiranya terdapat penyakit yang berkaitan dengan jerebu dan semua fasiliti kesihatan telah dimaklumkan supaya sentiasa bersedia.
Khusus bagi Sarawak, kementerian itu memaklumkan bilangan kes penyakit berkaitan jerebu di 12 klinik kesihatan sentinel menunjukkan kes URTI menurun daripada 1,473 pada Minggu Epidemiologi (ME) 31, iaitu sebelum jerebu, kepada 1,347 pada ME 32.
Kes asma pula menurun daripada 195 kepada 122, manakala kes konjunktivitis meningkat daripada 15 kepada 43.
Menurut kenyataan itu, kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik lebih berisiko mendapat kesan daripada jerebu.
Hal ini kerana kanak-kanak mempunyai kadar pernafasan yang lebih tinggi menyebabkan lebih banyak partikel jerebu masuk ke dalam badan dan memberikan kesan kepada kesihatan, selain kurang berupaya membuat keputusan yang wajar, terutama dalam keadaan yang berbahaya.
Jerebu juga boleh memberikan impak kepada penyakit kronik seperti asma, penyakit paru-paru obstruktif kronik dan sakit jantung.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa zarah halus dalam jerebu boleh meresap ke dalam paru-paru, mencetuskan radang, sesak nafas dan serangan jantung, serta meningkatkan risiko serangan akut dan kemasukan ke hospital.
“Oleh itu, penting bagi penghidap penyakit kronik yang berkenaan untuk tidak terdedah dengan jerebu bagi mengelakkan keadaan kesihatan mereka menjadi lebih teruk. Mereka juga perlu mematuhi nasihat doktor untuk mengambil ubat secara berkala,” menurut kenyataan itu.
Secara keseluruhan, terdapat 68 fasiliti kesihatan yang dipilih khusus untuk memantau penyakit akibat jerebu, dengan kekerapan pengumpulan data ditingkatkan daripada seminggu sekali sebelum jerebu kepada setiap hari semasa jerebu.
Dalam pada itu, KKM menasihati orang ramai supaya mengelakkan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu kerana aktiviti berkenaan meningkatkan kadar pernafasan, sekali gus menyebabkan lebih banyak partikel terampai memasuki saluran pernafasan.
“Orang ramai juga disaran sentiasa berada di dalam bangunan dan jika terpaksa berada di luar, hadkan masa serta menggunakan penutup hidung dan mulut yang sesuai.
“Tingkap juga perlu ditutup bagi mengurangkan asap jerebu memasuki rumah atau bangunan, orang ramai diminta mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara di dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” menurut kenyataan itu.
Ketika memandu, orang ramai juga disarankan menggunakan penyaman udara dengan memilih operasi kitaran udara dalaman dan banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.
Menurut KKM, pengudaraan di dalam rumah juga boleh ditambah baik dengan memasang alat penyaman udara dan penapis udara yang berkecekapan tinggi bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.
“Mereka yang tidak sihat dinasihatkan mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat, dan maklumat mengenai langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu boleh didapati menerusi laman sesawang InfoSihat KKM,” menurut kenyataan itu.
KKM turut menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan tidak membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.- Bernama





