74 peserta 10 IPT berkumpul menjelang Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026

Facebook
WhatsApp
PESERTA Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026 merakam kenangan ketika mengadakan lawatan ke Muzium Budaya Borneo. Foto AZAM

KOTA SAMARAHAN: Seramai 74 peserta mewakili 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak berkumpul di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 2 bagi mengikuti rangkaian program menjelang Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026.

Program anjuran Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) itu bukan sahaja menjadi persediaan sebelum pertandingan, malah membuka ruang kepada mahasiswa daripada institusi berbeza untuk berinteraksi, bertukar pengalaman dan membina jaringan.

Program hari pertama dimulakan dengan lawatan ke Muzium Budaya Borneo bagi memberi peluang kepada peserta mengenali sejarah, warisan budaya serta kepelbagaian masyarakat Sarawak.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026, Hassnal Hakim Junaidi, berkata penganjur mahu pengalaman peserta sepanjang program itu melangkaui pertandingan debat semata-mata.

“Apa yang kami rangka bukan hanya pertandingan debat. Kami mahu 74 peserta daripada 10 institusi ini mempunyai ruang untuk saling mengenali, bertukar pengalaman dan menikmati perjalanan program ini bersama-sama.

“Apabila pertandingan bermula, mereka mungkin berada di pihak yang berbeza, tetapi hubungan yang dibina di luar gelanggang tidak seharusnya berakhir apabila pertandingan selesai,” katanya.

Program diteruskan dengan pelayaran di Sungai Sarawak sebagai platform jaringan yang melibatkan peserta, kepimpinan dan pengurusan AZAM Sarawak, penaja, rakan strategik serta tetamu jemputan.

Pegawai Komunikasi Strategik AZAM Sarawak merangkap Pengarah Program, Cliff Nathaniel, berkata beberapa perancangan asal terpaksa disesuaikan berikutan keadaan jerebu demi keselesaan peserta tanpa menjejaskan objektif program.

SEBAHAGIAN peserta bersama kepimpinan AZAM Sarawak ketika mengikuti rangkaian program menjelang pertandingan debat. Foto AZAM

“Jerebu menyebabkan kami perlu menyesuaikan beberapa perancangan asal. Dalam keadaan seperti ini, pasukan penganjur perlu cepat menyesuaikan diri, fleksibel dan kreatif.

“Walaupun terdapat perubahan, objektif program kekal sama. Kita mahu peserta mendapat pengalaman yang baik dan mempunyai ruang untuk berinteraksi sebelum memasuki fasa pertandingan,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Universiti Curtin Malaysia, Nurin Hidayah, menyifatkan aktiviti hari pertama sebagai peluang untuk mengenali peserta daripada institusi lain sebelum pertandingan bermula.

Katanya, lawatan ke Muzium Budaya Borneo turut memberi peluang kepada peserta mendalami sejarah dan budaya Sarawak, selain menantikan bengkel sebagai persediaan menghadapi pertandingan.

Pengerusi AZAM Sarawak, Datuk Ismawi Ismuni, pula mengingatkan peserta supaya memanfaatkan pertandingan itu bukan sahaja untuk menguji kebolehan berhujah, tetapi turut membina keyakinan, persahabatan dan semangat persaingan yang sihat.

“Apabila pertandingan bermula nanti, berikan yang terbaik, berhujahlah dengan penuh keyakinan dan nikmati pengalaman ini.

“Paling penting, kekalkan semangat persaingan yang sihat dan saling menghormati,” katanya.

Sebanyak 10 IPT mengambil bahagian, iaitu Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Swinburne Kampud Sarawak, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), IPG Kampus Batu Lintang, Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak, UiTM Cawangan Sarawak, Kolej Universiti i-CATS, IPG Kampus Tun Abdul Razak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Rangkaian program berkenaan akan diteruskan dalam beberapa hari sebelum kejohanan memasuki kemuncaknya pada 18 Ogos ini.

Bertemakan ‘Minda Aktif, Sarawak Maju’, pertandingan itu menjadi platform untuk mengasah pemikiran kritis, kemahiran penyelidikan, pengucapan awam dan penghujahan dalam kalangan mahasiswa, selain menggalakkan pertukaran pandangan secara matang dan konstruktif.

KGBS mahu Aku Janji guru diperhalusi

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyokong usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh keselamatan dan kebajikan murid, namun mahu pelaksanaan Aku