TANJUNG DATU: Menjejak hutan hujan tropika di Taman Negara Tanjung Datu bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, malah membuka ruang kepada pengunjung untuk mengenali sendiri kepelbagaian flora dan fauna yang masih terpelihara di kawasan paling selatan di pesisir barat Sarawak.
Taman Negara Tanjung Datu yang terletak di Lundu itu merupakan antara kawasan perlindungan alam semula jadi penting di Sarawak, khususnya kerana kedudukannya yang menghadap Laut China Selatan dan mempunyai ekosistem hutan hujan tropika, hutan pesisir serta pantai yang menjadi habitat pelbagai spesies hidupan liar.
Kawasan berkenaan diwartakan sebagai taman negara pada 1994 dan menjadi antara destinasi pemuliharaan yang memperlihatkan hubungan rapat antara ekosistem hutan dengan kawasan pesisir pantai.
Bagi peserta Program Sesi Pengenalan Media anjuran Perbadanan Hutan Sarawak (SFC), pengalaman menjejaki hutan bermula dengan laluan Pasir Hantu Laut sejauh kira-kira 2.7 kilometer yang merentasi hutan pesisir sebelum tiba di kawasan pantai dan lokasi persinggahan pertama.

Menurut Pemandu arah Taman Negara Tanjung Datu, Gading, Bako dan Semenggok, Melintan Ina, terdapat dua laluan utama yang sering digunakan bagi aktiviti jungle tracking di Taman Negara Tanjung Datu, iaitu Belian Trail yang merangkumi kawasan berbukit dan laluan Pasir Hantu Laut yang melalui kawasan hutan berhampiran pantai.
Katanya, setiap laluan menawarkan pengalaman berbeza kerana pengunjung bukan sahaja dapat menikmati keindahan hutan, malah berpeluang mengenali tumbuhan yang mempunyai nilai ekologi, sejarah dan kegunaan tradisional masyarakat tempatan.
“Laluan yang kita gunakan hari ini ialah Pasir Hantu Laut. Jaraknya kira-kira 2.7 kilometer dan sepanjang perjalanan peserta akan melalui hutan pesisir sebelum sampai ke kawasan pantai.
“Sepanjang laluan ini, kita akan perkenalkan beberapa spesies pokok dan tumbuhan yang terdapat di sini, termasuk tumbuhan yang mempunyai kaitan dengan kehidupan serta budaya masyarakat dahulu,” katanya.
Antara tumbuhan yang diperkenalkan ialah pokok bemban yang dikenali sebagai bahan penting dalam penghasilan kraftangan tradisional seperti tikar.
Pokok Bemban daripada Genus Donax turut mempunyai kaitan dengan amalan tradisional masyarakat tempatan, termasuk penggunaan bahagian tertentu tumbuhan sebagai petua dalam proses menghentikan penyusuan anak.
Selain Bemban, peserta turut diperkenalkan kepada pokok Ara daripada Genus Ficus yang mempunyai hubungan unik dengan pokok perumah dalam ekosistem hutan.

Sesetengah spesies Ara memulakan kehidupannya sebagai tumbuhan epifit, sebelum membesar dan membentuk sistem akar yang akhirnya menjangkau tanah. Keadaan itu menyebabkan pokok ara sering kelihatan tumbuh pada atau mengelilingi pokok perumah.
Turut menarik perhatian ialah pokok Pelaie yang mempunyai nilai tradisional kepada masyarakat pribumi, termasuk penggunaannya dalam pembuatan perisai tradisional masyarakat Iban.
Sepanjang perjalanan, peserta turut dapat melihat pokok Meranti yang merupakan antara kumpulan pokok hutan tropika bernilai tinggi dan penting dalam ekosistem hutan, selain pokok Belian yang terkenal sebagai antara spesies kayu keras tropika paling bernilai di Sarawak.
Menurut Melintan, kehadiran hidupan liar turut menjadi antara tarikan utama ketika menjejaki hutan, termasuk peluang untuk melihat spesies gibbon yang mendiami kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi peserta pada hari berkenaan apabila kelibat haiwan tersebut tidak dapat dikesan.
Namun, ketiadaan hidupan liar itu tidak mematahkan semangat peserta yang tetap meneruskan perjalanan sehingga melengkapkan laluan sambil menikmati keunikan ekosistem hutan Tanjung Datu.
Pengalaman meredah hutan itu kemudiannya membawa peserta keluar dari hutan menuju ke kawasan pantai, sekali gus memperlihatkan satu lagi aspek penting pemuliharaan di Taman Negara Tanjung Datu iaitu pemeliharaan habitat penyu.
Pantai di sepanjang kawasan taman negara itu menjadi lokasi pendaratan penyu untuk bertelur dan berdasarkan rekod SFC, kira-kira 100 sarang penyu telah direkodkan sejak awal tahun ini sehingga kini.
Spesies yang paling banyak direkodkan ialah penyu agar atau lebih dikenali sebagai penyu hijau.
Bagi peserta program, pengalaman di Tanjung Datu tidak terhenti dengan meninjau keindahan alam semula jadi apabila mereka turut diberi peluang menyertai aktiviti pemuliharaan secara langsung menerusi pembersihan pantai.
Aktiviti itu mendedahkan peserta kepada realiti pencemaran marin yang turut memberi kesan kepada kawasan pantai yang menjadi habitat hidupan liar.
Pelbagai jenis sampah seperti botol plastik, bekas makanan dan bahan pembungkusan ditemui sepanjang kawasan pantai.
Lebih menarik, sebahagian sampah yang dikutip dipercayai datang dari luar Sarawak dan negara lain, termasuk Filipina, China serta Vietnam, berdasarkan label, tulisan dan pembungkusan yang masih terdapat pada bahan berkenaan.
Melintan berkata, keadaan itu menunjukkan bagaimana sampah yang dibuang atau dihanyutkan di sesuatu kawasan boleh bergerak jauh sebelum akhirnya terdampar di pantai Tanjung Datu, bergantung kepada pergerakan arus laut, ombak, angin dan keadaan cuaca.
“Kadangkala kita boleh kenal pasti dari mana sampah itu datang berdasarkan pembungkusan yang masih ada. Ada yang berasal dari Filipina, China, Vietnam dan kawasan lain.
“Sampah ini mungkin sudah lama berada di laut dan akhirnya dihanyutkan ke sini. Sebab itu pembersihan pantai penting bukan sahaja untuk membersihkan kawasan, tetapi untuk memberi kesedaran kepada manusia mengenai kesan perbuatan kita terhadap alam sekitar,” katanya.
Katanya, aktiviti seperti itu penting kerana manusia merupakan antara ancaman utama kepada kelestarian alam sekitar, khususnya apabila pencemaran berpunca daripada aktiviti manusia akhirnya memberi kesan kepada ekosistem yang jauh daripada kawasan asal pencemaran.
Bagi peserta Program Sesi Pengenalan Media SFC, perjalanan sepanjang 2.7 kilometer itu akhirnya menjadi lebih daripada sekadar aktiviti meredah hutan.
Ia menjadi pengalaman untuk melihat sendiri bagaimana hutan, pantai dan hidupan liar saling bergantung antara satu sama lain, selain memahami bahawa usaha pemuliharaan bukan hanya tertumpu kepada melindungi haiwan atau tumbuhan, tetapi turut merangkumi penjagaan keseluruhan ekosistem.
Di sebalik keindahan hutan hujan tropika dan pantai yang masih terpelihara, Tanjung Datu turut mengingatkan bahawa kelestarian alam sekitar bergantung kepada tindakan manusia.
Setiap langkah yang diambil di denai hutan, setiap sarang penyu yang dilindungi dan setiap sampah yang dikutip dari pantai menjadi sebahagian daripada usaha lebih besar untuk memastikan khazanah alam Sarawak terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Oleh Afiq Sallehi





