BETONG: Seorang wanita warga emas berusia 79 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar ke kebun untuk menoreh getah di kawasan Rumah Empaling, Jelang, Spak, di sini, pagi tadi.
Menurut kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.05 petang tadi.
Susulan itu, seramai empat anggota APM Betong bergerak ke lokasi bagi mendapatkan maklumat berkaitan mangsa dan membantu usaha mengesan keberadaannya.

Mangsa dikenali sebagai Nawie Jabing, 79, yang dipercayai keluar dari rumah sekitar 6.30 pagi untuk menjalankan aktiviti menoreh getah seperti kebiasaannya.
Bagaimanapun, sehingga kira-kira 1.00 petang, mangsa masih belum pulang ke rumah.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan suami mangsa yang kemudian bertindak mencarinya di kawasan kebun serta lokasi berhampiran.
Namun, usaha berkenaan tidak membuahkan hasil sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkaitan.
APM memaklumkan mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 149 sentimeter, berbadan kecil dengan berat sekitar 43 kilogram.

Ketika kali terakhir dilihat, mangsa memakai baju berwarna biru, seluar hijau dan kasut berwarna hitam.
Mangsa juga dilaporkan mempunyai masalah kesihatan termasuk darah tinggi selain mengalami masalah kurang pendengaran.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa atau terlihat kelibatnya diminta segera menghubungi pihak berkuasa atau balai polis berhampiran.

APM Betong turut menasihati ahli keluarga mangsa supaya membuat laporan polis berhubung kehilangan berkenaan bagi membolehkan usaha pencarian dan pengesanan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Kerjasama serta keprihatinan orang ramai amat diperlukan bagi membantu memastikan warga emas berkenaan dapat ditemui dalam keadaan selamat.
Oleh Adi Safarman



