Lazimnya menu Ikan Talapia Bakar Bersambal hanya boleh didapati di restoran-restoran halal di kawasan bandar atau ketika berlangsungnya aktiviti Bazar Ramadan bersempena dengan sambutan nulan Ramadan pada setiap tahun.
Keadaan ini memberi banyak kelebihan kepada penduduk di kawasan bandar yang mudah mendapatkan Ikan Talapia Bakar Bersambal pada setiap hari berbanding dengan penduduk rumah panjang yang mustahil dapat menikmati juadah lazat itu di kawasan mereka.
Bagaimanapun, bagi Daniel Anis, 47, menghasilkan menu ini ibarat hobi bagi beliau dan isteri, Annie Kerina, 37, sejak Januari lepas.
Pesara tentera dan veteran komando itu telah mengubahsuai dan mencipta resepi baharu berasaskan resepi lama sebelum meninggalkan alam tentera lebih lima tahun lepas.
“Resepi ikan ini kami hidangkan kepada jiran yang hadir. Apabila jiran mendapati ia sangat sedap dan enak, resepi Ikan Talapia Bakar Bersambal mula menjadi perhatian secara meluas di kawasan Merindun, Engkelili ini sehingga sekarang,” kata Daniel.
Kekuatan resepi Ikan Talapia Bakar Bersambal ini terletak pada sambalnya. Kata beliau sambal ini telah dihasilkan bersama isteri menerusi beberapa kali percubaan sebelum ramuan baharunya dimuktamadkan.
Sambal ini katanya akan disalut pada ikan talapia segar sebelum ia dihiasi dengan sayur-sayuran seperti tomato dan kacang bendi untuk menambah seri hiasan menu berkenaan.
“Ikan talapia yang sudah disalut dengan sambal dan dihiasi kacang bendi bersama tomato perlu dibalut dengan daun pisang dan dibalut pula dengan pembalut aluminium sebelum dipanggang atas bara api yang sederhana.
“Kelebihannya menu ini ialah ikan talapianya masih memiliki tekstur isi yang lembut serta cukup rasmi dan mungkin menjadi penyebab mengapa ramai jiran dan penduduk sekitar Merindun gemarkannya,” kata beliau.
Bagaimanapun Daniel dan isterinya masih menganggap masakan Ikan Talapia Bakar Bersambal ini sebagai hobi dan tidak menjadikannya sebagai perniagaan berskala besar memandangkan beliau memiliki pekerja utama di kawasan Merindun sekarang.
“Jika sibuk saya tidak akan memasak Ikan Talapia Bakar Bersambal ini. Namun jika mempunyai banyak masa saya akan memasak menu ini bersama dengan satay ayam, satay daging, burger, nasi bungkus dan beberapa resepi lauk lain.
“Sebahagiannya ada dijual namun ada juga untuk dimakan bersama ahli keluarga atau jiran sebelah rumah pada waktu lapang.
“Pentingnya sekali ialah hobi dapat digunakan untuk untuk mengisi masa lapang ketika berlangsung penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa kini,” kata Daniel.
Daniel telah bersara daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia lebih lima tahun lepas dengan Kem Iskandar Rejimen 22 Komando di Mersing, Johor menjadi lokasi terakhir buat beliau berbakti kepada negara sebagai komando.
Beliau kini tinggal di Merindun, Engkilili bersama keluarga dan bekerja dengan sebuah syarikat di situ untuk mengisi waktu persaraannya pada masa sekarang.
Oleh VALENTINE NGUMBANG