PETRA JAYA: Sarawak menyasarkan impak lebih besar daripada industri acara perniagaan dalam fasa pertumbuhan seterusnya, khususnya dalam mewujudkan peluang ekonomi, perkongsian ilmu, pembangunan industri, pelaburan serta manfaat kepada komuniti tempatan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak kini mempunyai reputasi antarabangsa yang kukuh dalam industri acara perniagaan, diperkasakan menerusi penekanan terhadap hasil berteraskan legasi.
Menurutnya, pendekatan itu kini diterjemahkan menerusi peningkatan penganjuran acara serta peluang lebih luas kepada perniagaan dan industri tempatan.
“Sarawak telah membina reputasi antarabangsa yang kukuh dalam acara perniagaan, diperkasakan dengan tumpuan kita terhadap hasil berteraskan legasi.
“Dengan sokongan berterusan kerajaan Sarawak, kita berada pada kedudukan baik untuk meneruskan kemajuan, menarik peluang lebih besar dan memastikan manfaatnya diperluaskan kepada lebih banyak sektor serta komuniti di Sarawak ketika persaingan di ASEAN semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena kunjungan hormat Business Events Sarawak (BESarawak) kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Kunjungan itu membincangkan fasa seterusnya pertumbuhan industri acara perniagaan Sarawak serta usaha memperkukuh kerjasama bagi menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada aspek infrastruktur, kapasiti tempat acara dan penginapan serta kesalinghubungan udara sebagai faktor penting dalam meningkatkan keupayaan Sarawak menarik acara perniagaan antarabangsa dan nasional yang lebih besar serta pelbagai.
Pembangunan Pusat Konvensyen Borneo Kuching 2 (BCCK2) yang sedang dilaksanakan serta peningkatan kesalinghubungan udara menerusi AirBorneo turut dilihat membuka peluang kepada Sarawak untuk menarik lebih banyak acara perniagaan dan aktiviti pelancongan dari rantau Asia Pasifik.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi BESarawak, Datu Hii Chang Kee berkata, kerjasama dan penyelarasan lebih kukuh antara agensi kerajaan, industri serta institusi penting bagi memastikan acara perniagaan menyumbang kepada agenda pembangunan Sarawak.
“Dengan peningkatan acara berskala besar yang mengetengahkan isu berkepentingan global merentasi pelbagai industri, kita perlu melihat bagaimana setiap peluang boleh menyumbang kepada keutamaan Sarawak sama ada menerusi pelaburan, pembangunan bakat, pertumbuhan industri, perkongsian ilmu atau kerjasama antarabangsa,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Jason Tan Chin Foo pula berkata, momentum yang dibina sepanjang dua dekad lalu akan dimanfaatkan secara strategik dengan memberi tumpuan kepada acara berimpak tinggi, memperkukuh ekosistem acara perniagaan Sarawak serta menghasilkan nilai lebih besar daripada setiap peluang yang diperoleh.
Seiring Sarawak menuju sasaran PCDS 2030, BESarawak akan terus menyelaraskan acara perniagaan dengan sektor keutamaan negeri bagi membawa masuk lebih banyak ilmu, inovasi dan kerjasama yang mampu menyokong pembangunan Sarawak secara menyeluruh.





