KUCHING: Kehadiran kanak-kanak ke tadika dan taska di Sarawak ketika keadaan jerebu adalah atas budi bicara atau pilihan ibu bapa, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menurut beliau, tadika dan taska yang sepatutnya ditutup apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 200 dan ke atas masih boleh beroperasi bagi menampung keperluan kanak-kanak yang ibu bapanya perlu bekerja.
Beliau berkata, tadika dan taska merupakan sistem sokongan penting kepada ibu bapa yang bekerja, selain pusat berkenaan menyediakan persekitaran lebih selamat dan terkawal dengan kemudahan penghawa dingin serta penapisan atau pembersihan udara yang bersesuaian.
Bagaimanapun, semua pusat berkenaan perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi.
Kanak-kanak yang tidak sihat pula hendaklah berada di rumah, manakala saringan kesihatan akan dilakukan sebaik sahaja mereka tiba di pusat berkenaan bagi memastikan keadaan mereka sesuai sebelum diterima masuk.
Sekiranya kanak-kanak mengalami gejala ketika berada di tadika atau taska, ibu bapa akan dihubungi untuk membawa mereka pulang.
Pada masa sama, semua aktiviti luar hendaklah dihentikan sepanjang keadaan jerebu.
Bagi perjalanan dari rumah ke pusat berkenaan, ibu bapa disaran memastikan anak-anak memakai pelitup muka serta mengurangkan pendedahan kepada keadaan luar.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai asma, masalah pernafasan atau keadaan kesihatan tertentu, ibu bapa hendaklah memastikan ubat sedut yang telah dipreskripsikan dibawa bersama, selain memaklumkan keadaan serta keperluan penjagaan anak kepada pihak pusat.
Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak minum air secukupnya dan kekal terhidrat sepanjang berada di pusat berkenaan.
Langkah berkenaan digariskan susulan keadaan jerebu semasa serta peningkatan bacaan IPU di beberapa kawasan di Sarawak bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terus diberi keutamaan.





