SIMANGGANG: Operasi memadam kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman memasuki hari keempat hari ini dengan keluasan kawasan terjejas dianggarkan mencapai 80 hektar.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kebakaran berkenaan dilaporkan pada 1.19 petang, Isnin lalu.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman tiba di lokasi pada 1.35 petang, kira-kira 15 kilometer dari balai.
“Operasi hari keempat bermula pada 7.30 pagi apabila pasukan bomba bertolak ke lokasi dan tiba pada 7.45 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setibanya di lokasi, pasukan operasi menjalankan taklimat serta pembahagian tugas sebelum kerja-kerja pemadaman dimulakan pada 8.00 pagi.
Operasi dibahagikan kepada empat kumpulan bagi mengawal kebakaran di beberapa sektor, termasuk membina jalur pemutus kebakaran bagi menghalang api daripada terus merebak.

Kumpulan pertama menggunakan pam GP 10/10 dengan sumber air terbuka dan membentangkan hos sepanjang kira-kira 400 kaki, manakala kumpulan kedua menggunakan pam kebakaran hutan dengan bentangan hos sepanjang 300 kaki.
Kumpulan ketiga turut menggunakan pam GP 10/10 dan aliran hos sepanjang 400 kaki, sementara kumpulan keempat dibantu tiga pekerja ladang menggunakan pam serta jengkaut ladang.
Operasi pemadaman dihentikan sementara pada 1.00 petang untuk rehat sebelum disambung semula pada 2.00 petang.
PGO berkata, operasi kemudiannya ditangguhkan pada 7.00 malam dan akan diteruskan pada hari berikutnya, dengan pasukan tiba semula di BBP Sri Aman pada 8.00 malam.
“Daripada keseluruhan kawasan yang terjejas seluas kira-kira 80 hektar, sekitar 40 hektar telah berjaya dipadam,” katanya.
Bagaimanapun, operasi berdepan beberapa cabaran termasuk ketiadaan liputan rangkaian, angin kencang yang menyebabkan api cepat merebak, kekurangan sumber air terbuka seperti parit serta keadaan akses jalan yang sempit.

Seramai 18 anggota bomba terlibat dalam operasi itu dengan sokongan sebuah Lori Hicom, tiga kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dan sebuah tangki air.
Turut membantu operasi ialah lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima anggota Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) bersama empa jengkaut serta tiga pekerja ladang.
Komander Operasi, PBK I Chimiam Duyu, mengetuai operasi yang turut dipantau Ketua Zon 3 JBPM Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan dan Pegawai Operasi Bomba Zon 3, PPgB Shaibullah Sabeli.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian setakat ini, manakala operasi pemadaman akan diteruskan bagi memastikan api benar-benar terkawal dan tidak merebak ke kawasan berhampiran.
Oleh Adi Safarman





