KUCHING: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, telah mencapai hampir 80 peratus di peringkat domestik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan itu membabitkan pelaburan KWAP bernilai RM163.4 juta, bersamaan kira-kira AS$35 juta.
Katanya, seramai 19 individu telah dipanggil untuk membantu siasatan dan dirakam keterangan, terdiri daripada pegawai KWAP, Kementerian Kewangan Malaysia serta Khazanah.
“Walau bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan bagi kes ini sehingga kini.
“Setakat ini, siasatan tidak menemui kesalahan jenayah melibatkan rasuah mahupun penyelewengan,” katanya pada sidang media di Kompleks Pejabat SPRM Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan penuh hanya dapat diperoleh selepas SPRM mendapatkan maklumat serta dokumen kewangan daripada bank luar negara, khususnya di Singapura dan Indonesia.
Menurutnya, pasukan penyiasat turut berusaha mendapatkan keterangan daripada saksi yang dikenal pasti berada di luar negara termasuk Indonesia, San Francisco dan Abu Dhabi.
Katanya, proses mendapatkan maklumat serta keterangan dari luar negara memerlukan masa kerana melibatkan bidang kuasa negara lain.
“Sehingga kini, siasatan di peringkat domestik telah mencapai hampir 80 peratus, manakala siasatan di peringkat antarabangsa masih berjalan,” katanya.
Abd Halim berkata, kerjasama daripada pihak berkuasa dan rakan setara di negara terbabit setakat ini berjalan lancar.
Selain siasatan berkaitan kemungkinan wujud unsur jenayah, beliau berkata SPRM turut menjalankan siasatan dari aspek tatakelola bagi mengenal pasti kelemahan pengurusan atau prosedur yang mungkin wujud.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan sebarang kelemahan dalam aspek pengurusan dan tadbir urus dapat dikenal pasti serta cadangan penambahbaikan dikemukakan.





