Akses pertanian Menyalin Baru dipertingkat, jalan ladang 830 meter siap lebih awal

Facebook
WhatsApp
JALAN ladang sepanjang 830 meter menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang berjaya disiapkan awal. Foto Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban

DEBAK: Penduduk Menyalin Baru kini menikmati akses yang lebih selesa dan selamat ke kawasan pertanian susulan siapnya projek naik taraf jalan ladang sepanjang 830 meter menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong selaku agensi pelaksana itu bermula pada 5 Februari lalu dan dijadualkan siap pada 24 Ogos ini, namun berjaya disiapkan lebih awal mengikut spesifikasi ditetapkan.

Sesi serah siap projek yang berlangsung di Rumah Danil, Menyalin Baru semalam turut dihadiri Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Debak, Mohammad Khairurani Mohammad Ibrahim; Tuai Rumah Danil; wakil BDDA, Jordan Evin; wakil JKR Bahagian Betong dan Pejabat Daerah Betong, Henry Asul.

Turut hadir wakil Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban serta wakil kontraktor, Layarmas Enterprise.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peningkatan akses ke kawasan pertanian perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan kelancaran aktiviti serta pengangkutan hasil pertanian penduduk.

Menurut beliau, jalan ladang yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah meningkatkan aspek keselamatan dan melancarkan proses membawa keluar hasil pertanian.

“Apabila jalan ke kawasan ladang lebih baik, pergerakan penduduk menjadi lebih mudah dan selamat, manakala hasil pertanian juga dapat dibawa keluar dengan lebih lancar.

“Ini secara langsung membantu memudahkan urusan harian serta menyokong kegiatan ekonomi masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban pada masa sama mengingatkan penduduk supaya bersama-sama menjaga kemudahan berkenaan agar manfaatnya dapat dinikmati untuk tempoh yang panjang.

“Saya berharap jalan ini digunakan dan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Apabila kita sama-sama menjaganya, manfaat kemudahan ini dapat dinikmati oleh penduduk untuk jangka masa yang lebih panjang,” katanya.

Sementara itu, Tuai Rumah Danil merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan kerajaan Sarawak atas perhatian terhadap keperluan penduduk Menyalin Baru, khususnya dalam meningkatkan akses ke kawasan pertanian.

Naik taraf laluan berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti setempat kerana bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah memperlancar pengangkutan hasil pertanian, sekali gus menyokong kegiatan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat Menyalin Baru.

Oleh Adi Safarman