Jalan Ulu Skrang RM20.51 juta perkasa akses 2,500 penduduk

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas meninjau tapak projek Jalan Ulu Skrang, Lubok Antu (Fasa 2) sempena XPDC 3.0 JKR Sarawak, dekat sini semalam. Foto Douglas Uggah Embas Official

ENGKILILI: Projek Jalan Ulu Skrang, Lubok Antu (Fasa 2) bernilai RM20.51 juta dijangka memberi nafas baharu kepada kira-kira 2,500 penduduk pedalaman Ulu Skrang dengan memulihkan akses darat yang terjejas akibat keruntuhan beberapa jambatan kayu dan pembetung.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata projek itu amat penting bagi memastikan penduduk menikmati sistem perhubungan darat yang lebih selamat, mudah dan berkesan.

“Kita mahu melihat sendiri keadaan di lapangan dan memastikan projek ini dilaksanakan dengan baik kerana jalan ini penting kepada masyarakat.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas meninjau tapak projek Jalan Ulu Skrang, Lubok Antu (Fasa 2) sempena XPDC 3.0 JKR Sarawak, dekat sini semalam. Foto Douglas Uggah Embas Official

“Dengan ada perhubungan darat yang lebih baik, penduduk akan mendapat akses yang lebih selamat dan mudah,” katanya selepas meninjau tapak projek berkenaan sempena XPDC 3.0 Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, dekat sini semalam.

Menurut Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, projek itu merangkumi pembinaan dua jambatan komposit sepanjang 67 meter setiap satu merentasi Sungai Mengong dan Sungai Penabun.

Setiap jambatan turut dilengkapi jalan pendekat sepanjang 250 meter, selain kerja pembinaan jalan berstandard Premix R1, kerja tanah, penyediaan subgred, sistem perparitan serta pemasangan kemudahan keselamatan jalan raya.

Katanya, pemulihan laluan darat itu amat signifikan kepada penduduk yang tinggal di beberapa rumah panjang, selain memberi manfaat kepada tiga sekolah rendah dan sebuah klinik komuniti di kawasan berkenaan.

“Bila hubungan jalan darat ini dipulihkan, penduduk tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada laluan sungai untuk bergerak. Ini akan memudahkan urusan harian, termasuk ke sekolah dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah berkata kemajuan projek perlu diberi perhatian serius berikutan kelewatan yang berlaku, dengan kontraktor diarahkan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kemajuan kerja di tapak.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas meninjau tapak projek Jalan Ulu Skrang, Lubok Antu (Fasa 2) sempena XPDC 3.0 JKR Sarawak, dekat sini semalam. Foto Douglas Uggah Embas Official

Beliau mengakui cabaran logistik dan penghantaran bahan binaan di kawasan pedalaman antara faktor yang perlu ditangani, namun menegaskan kerjasama antara kontraktor dengan JKR perlu diperkukuh bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan baik.

Projek yang dilaksanakan oleh Autopower Consultant (M) Sdn Bhd itu mempunyai nilai kontrak RM20,506,857.58 dengan tarikh siap asal ditetapkan pada 11 November 2027.

Skop projek turut melibatkan pembinaan pelbagai sistem perparitan, termasuk longkang tepi, longkang bangku, longkang pemintas, longkang kaki cerun dan longkang bahu cerun bagi menguruskan aliran air, terutama di kawasan berbukit.

Kemudahan keselamatan seperti penghadang jalan, garisan tepi turapan serta papan tanda amaran dan arah turut disediakan bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

Apabila siap, projek itu dijangka memulihkan laluan darat sepanjang kira-kira 50 kilometer di Ulu Skrang, sekali gus memperkukuh akses penduduk kepada kemudahan asas, khususnya pendidikan, kesihatan dan urusan harian.

Oleh Adi Safarman