LAWAS: Kerosakan pada talian gentian optik milik Sacofa akibat dilanggar sebuah lori menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi di beberapa kawasan di Lawas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Wilayah Miri memaklumkan perkara itu susulan siasatan yang dijalankan berhubung isu gangguan telekomunikasi di Lawas, seperti dilaporkan Utusan Sarawak sebelum ini.
Menurut MCMC, pihaknya menerima maklum balas daripada Sacofa yang memaklumkan tiang gentian optik miliknya dilanggar dan diseret sebuah lori, menyebabkan kerosakan pada talian di beberapa kawasan.
“Kita menerima maklum balas pihak Sacofa berhubung kerosakan pada gentian optik mereka yang dilanggar dan diseret lori di Lawas.
“Mereka turut memberitahu bahawa kerja pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) turut menyebabkan gangguan pada talian gentian optik Sacofa,” kata pegawai perhubungan MCMC Wilayah Miri kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, MCMC dimaklumkan kerja pembaikan dan pemodenan rangkaian gentian optik di Lawas masih dilaksanakan dan gangguan dijangka dapat diminimumkan menjelang penghujung tahun ini.
MCMC turut menerima aduan berhubung kesulitan penduduk di daerah Lawas menggunakan perkhidmatan telekomunikasi untuk urusan pembelian barangan keperluan menggunakan SKAS pada awal tahun ini.
Sehubungan itu, MCMC akan terus berusaha memastikan perkhidmatan telekomunikasi di Lawas ditambah baik dengan segera.
Tindakan juga telah diambil terhadap beberapa syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Lawas yang didapati gagal memenuhi syarat perkhidmatan yang ditetapkan kerajaan.
Oleh Adeng Edrus




