Eksklusif: Jerebu, kebakaran hutan ancam biodiversiti, hidupan liar Sarawak

Facebook
WhatsApp
HAIWAN liar lari menyelamatkan diri dari kebakaran hutan. Foto AI

ANCAMAN jerebu rentas sempadan dan kebakaran hutan yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan manusia, malah berpotensi memberi tekanan serius terhadap ekosistem, biodiversiti serta kelangsungan hidupan liar di Sarawak.

Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila kebakaran habitat boleh memaksa hidupan liar keluar dari kawasan asal untuk mencari perlindungan, makanan dan air sehingga menghampiri penempatan manusia, sekali gus meningkatkan risiko konflik manusia-hidupan liar.

Wartawan Utusan Sarawak, Earl Anek mendapatkan penjelasan lanjut daripada Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran mengenai tahap ancaman jerebu rentas sempadan dan kebakaran hutan terhadap Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA), habitat serta hidupan liar di negeri ini.

Soalan (S)1: Tuan, sejauh mana SFC melihat ancaman jerebu rentas sempadan terhadap ekosistem hutan dan hidupan liar di Sarawak sekiranya keadaan berlarutan?

Abang Arabi: Jerebu rentas sempadan merupakan antara ancaman alam sekitar yang perlu diberikan perhatian serius kerana kesannya bukan sahaja melibatkan kesihatan dan kesejahteraan manusia, malah berpotensi memberi tekanan kepada ekosistem serta biodiversiti sekiranya berlaku secara berpanjangan.

Dalam konteks ekosistem hutan, keadaan jerebu yang berterusan berpotensi mengurangkan jumlah cahaya matahari yang sampai kepada tumbuhan, sekali gus boleh mempengaruhi proses fotosintesis dan keadaan mikroiklim setempat.

Sekiranya keadaan ini berlarutan, ia boleh memberi tekanan tambahan kepada ekosistem, terutama apabila berlaku serentak dengan musim panas dan kering.

Bagi hidupan liar, khususnya spesies yang sensitif atau mempunyai populasi yang kecil, pendedahan kepada keadaan berjerebu secara berpanjangan berpotensi memberi kesan kepada kesihatan, pola pergerakan, aktiviti mencari makanan serta tingkah laku harian. Tahap kesannya bergantung kepada tempoh dan tahap pendedahan serta sensitiviti sesuatu spesies.

Sehubungan dengan itu, SFC sentiasa mengambil perhatian dan memantau perkembangan situasi, khususnya keadaan yang berpotensi memberi kesan kepada Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan hidupan liar.

TENGKORAK dan tulang haiwan liar berselerakan. Foto AI

S2: Adakah SFC mengesan sebarang peningkatan kejadian kebakaran terbuka atau kebakaran hutan di dalam atau berhampiran kawasan hutan simpan sejak keadaan cuaca panas dan kering kebelakangan ini?

Abang Arabi: Pihak SFC sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim cuaca panas dan kering, khususnya dalam menghadapi peningkatan risiko kebakaran di dalam dan sekitar TPA.

Sebagai langkah kesiapsiagaan dan pencegahan, pegawai serta kakitangan SFC sentiasa memantau keadaan di lapangan melalui rondaan berkala, laporan daripada kakitangan yang bertugas di TPA, serta pemantauan sistem titik panas bagi mengenal pasti sebarang petunjuk awal kejadian kebakaran.

Pada musim cuaca panas dan kering, risiko kebakaran sememangnya meningkat, khususnya di kawasan yang mempunyai ekosistem sensitif seperti hutan paya bakau, hutan paya gambut serta kawasan TPA yang bersempadan atau berhampiran dengan aktiviti manusia.

Sehubungan dengan itu, SFC terus meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan pemantauan, termasuk memberi perhatian kepada kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi. Sebarang maklumat atau pengesanan titik panas akan diberi perhatian bagi membolehkan pengesahan di lapangan dan tindakan awal dilaksanakan dengan segera, sekiranya diperlukan.

Langkah ini penting bagi memastikan sebarang insiden kebakaran dapat dikesan pada peringkat awal, dikawal dengan pantas serta diminimumkan kesannya terhadap biodiversiti, habitat hidupan liar dan ekosistem di dalam TPA.

S3: Kawasan hutan simpan manakah yang dikenal pasti paling berisiko berlaku kebakaran ketika musim panas dan kering, dan apakah langkah pencegahan awal yang sedang dilaksanakan SFC?

Abang Arabi: Secara amnya, kawasan hutan paya bakau, tanah gambut dan kawasan yang mempunyai sejarah kejadian kebakaran lampau dikenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai risiko kebakaran yang lebih tinggi, terutamanya ketika musim cuaca panas dan kering. 

Antara kawasan yang diberikan perhatian khusus oleh SFC termasuk Sanktuari Hidupan Liar Samunsam, Sanktuari Hidupan Liar Sibuti, Taman Negara Similajau dan Taman Negara Sedilu, serta kawasan yang bersempadan atau berhampiran dengan aktiviti pertanian dan aktiviti manusia.

Berdasarkan kepada rekod yang lalu, antara lain pemantauan juga berfokus kepada kawasan Taman Negara Gunong Mulu, Taman Negara Niah, Taman Negara Lambir dan juga RIzab Semulajadi Piasau yang juga berisiko dari kebakaran hutan semasa musim kering.

Sebagai langkah pencegahan dan kesiapsiagaan, SFC melaksanakan rondaan berkala di lapangan, pemantauan titik panas secara harian, program kesedaran awam serta kerjasama dengan komuniti setempat dan agensi penguatkuasaan berkaitan. 

Pemantauan turut dipertingkatkan semasa tempoh cuaca panas dan kering bagi membolehkan sebarang petunjuk awal kebakaran dikenal pasti dan tindakan segera diambil.

Pendekatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SFC untuk mengurangkan risiko kebakaran, melindungi biodiversiti dan habitat hidupan liar serta memastikan integriti ekosistem di dalam TPA terus terpelihara.

S4: Apakah kesan asap tebal dan pencemaran udara akibat jerebu terhadap hidupan liar, khususnya spesies sensitif atau terancam yang hidup di kawasan hutan Sarawak?

Abang Arabi: Asap tebal daripada kebakaran hutan bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah berpotensi memberi tekanan fisiologi kepada hidupan liar, terutamanya sekiranya pendedahan berlaku secara berpanjangan. Antara kesan yang mungkin berlaku termasuk gangguan terhadap sistem pernafasan, perubahan tingkah laku serta pengurangan aktiviti mencari makanan dan air.

Kesan ini perlu diberikan perhatian khusus bagi spesies terancam atau spesies yang mempunyai populasi kecil, kerana tekanan yang berterusan, apabila digabungkan dengan kehilangan atau kemerosotan habitat dan sumber makanan, berpotensi menjejaskan kesihatan, kejayaan pembiakan serta kelangsungan populasi dalam jangka panjang.

Walaupun hidupan liar di habitat semula jadi lazimnya mempunyai keupayaan tertentu untuk bertindak balas dan menyesuaikan diri terhadap perubahan persekitaran dalam jangka pendek, tahap tindak balas adalah berbeza mengikut spesies, keadaan habitat dan tempoh pendedahan. Pendedahan kepada asap yang berpanjangan, khususnya apabila disertai kebakaran yang berterusan, tetap menjadi satu kebimbangan dari sudut pemuliharaan.

Justeru, bagi SFC, mengawal kebakaran pada peringkat awal bukan sahaja penting untuk melindungi hutan, tetapi juga untuk mengurangkan tekanan terhadap hidupan liar dan memastikan habitat mereka terus berfungsi sebagai tempat perlindungan, sumber makanan dan kawasan pembiakan.

S5: Sekiranya kebakaran berlaku dalam hutan simpan, sejauh mana ia boleh menyebabkan hidupan liar keluar dari habitat asal dan memasuki kawasan penempatan manusia?

Abang Arabi: Ya, keadaan sedemikian sememangnya boleh berlaku. Apabila habitat semula jadi terganggu akibat kebakaran, hidupan liar berkemungkinan bergerak keluar dari habitat asal untuk mencari kawasan yang lebih selamat serta mendapatkan sumber makanan dan air.

Pergerakan ini boleh menyebabkan hidupan liar menghampiri kawasan penempatan, pertanian atau kawasan yang mempunyai aktiviti manusia, sekali gus meningkatkan potensi interaksi dan konflik antara manusia dengan hidupan liar.

Sehubungan dengan itu, SFC sentiasa bersedia untuk meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan hidupan liar, khususnya di kawasan yang terjejas akibat kebakaran dan kawasan yang bersempadan dengan penempatan atau aktiviti manusia. Maklumat dan aduan daripada komuniti setempat juga penting bagi membantu SFC mengenal pasti sebarang perubahan atau pergerakan luar biasa hidupan liar.

Sekiranya berlaku konflik, SFC akan membuat penilaian berdasarkan keadaan di lapangan dan mengambil tindakan pengurusan yang bersesuaian, dengan memberi keutamaan kepada keselamatan masyarakat serta kebajikan dan pemuliharaan hidupan liar.

Dalam jangka panjang, langkah yang paling penting adalah memastikan habitat semula jadi terus dilindungi dan dipulihkan, kerana habitat yang sihat dan mencukupi dapat mengurangkan tekanan terhadap hidupan liar serta meminimumkan kemungkinan haiwan bergerak ke kawasan yang didiami manusia.

S6: Adakah SFC mempunyai pelan kecemasan khusus untuk menyelamat atau memindahkan hidupan liar sekiranya kebakaran hutan berskala besar berlaku?

Abang Arabi: Ya. SFC mempunyai pasukan teknikal dan veterinar yang berpengalaman serta bersedia untuk melaksanakan operasi menyelamat hidupan liar, termasuk dalam situasi kecemasan seperti kebakaran hutan.

Bagaimanapun, pendekatan utama SFC adalah berteraskan prinsip bahawa perlindungan habitat dan tindakan awal mengawal kebakaran merupakan langkah paling berkesan untuk melindungi hidupan liar. 

Dengan mengesan dan mengawal kebakaran seawal mungkin, risiko kehilangan habitat, sumber makanan serta kawasan perlindungan dan pembiakan hidupan liar dapat diminimumkan.

Sekiranya terdapat hidupan liar yang cedera, terperangkap atau terjejas akibat kebakaran, SFC bersedia untuk melaksanakan operasi menyelamat, pemeriksaan dan rawatan veterinar serta pemindahan atau translokasi ke kawasan yang lebih selamat, bergantung kepada keadaan dan keperluan di lapangan.

Tindakan tersebut akan dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira keselamatan haiwan, dan kesesuaian habitat.

Bagi SFC, matlamat akhirnya bukan sekadar menyelamatkan haiwan yang terjejas, tetapi memastikan habitat semula jadi mereka terus dilindungi dan berfungsi dengan baik, kerana perlindungan habitat merupakan asas kepada kelangsungan hidupan liar dan biodiversiti Sarawak dalam jangka panjang.

SFC mempunyai pengalaman yang luas dalam sebarang aktiviti menyelamat hidupan liar melalui beberapa operasi besar yang lalu seperti Penyelamatan dan Pemantauan Hidupan Liar (WiMor) untuk Empangan Hidroelektrik di Murum dan Bakun. 

Selain itu, SFC juga memainkan peranan utama dalam operasi kritikal seperti operasi pencegahan Rabies dan juga operasi pengawalan penularan jangkitan Demam Babi Afrika (ASF) pada suatu ketika dahulu.

Kita juga berkolaborasi rapat dengan agensi agensi tertentu dalam isu pemantauan dan pencegahan kebakaran hutan di Sarawak selama ini. Antara agensi agensi tersebut ialah, Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PDRM, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dan Jabatan Veterinar Sarawak. Kita yakin dengan kolaborasi yang strategik dan kukuh ini, maka segalah urusan kawalan dan pencegahan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

S7: Selain kematian secara langsung akibat kebakaran, apakah kesan jangka panjang kebakaran hutan terhadap sumber makanan, kawasan pembiakan dan rantaian ekosistem hidupan liar?

Abang Arabi: Kesan jangka panjang daripada kebakaran hutan boleh menjadi jauh lebih besar dan kompleks berbanding kesan yang dapat dilihat serta-merta.

Kebakaran bukan sahaja memusnahkan tumbuh-tumbuhan, malah boleh menjejaskan sumber makanan hidupan liar, merosakkan kawasan pembiakan dan perlindungan, serta mengubah struktur dan fungsi habitat semula jadi.

Bagi ekosistem yang sensitif, khususnya hutan paya gambut, proses pemulihan boleh mengambil masa yang panjang. Kebakaran berulang juga boleh menyebabkan kemerosotan habitat yang berterusan dan seterusnya mengurangkan keupayaan ekosistem untuk pulih secara semula jadi.

Kesan ini akhirnya boleh mempengaruhi keseluruhan rantaian ekologi, termasuk hubungan antara tumbuhan, hidupan liar dan habitatnya. Dalam jangka panjang, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan kehilangan biodiversiti serta menjejaskan kestabilan dan daya tahan ekosistem terhadap perubahan iklim.

Justeru, bagi SFC, pencegahan dan pengesanan awal adalah lebih berkesan daripada hanya bertindak selepas kebakaran berlaku. Sebab itu pemantauan, rondaan, kesiapsiagaan, perlindungan habitat dan kerjasama dengan komuniti serta agensi berkaitan perlu dilaksanakan secara berterusan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko kebakaran yang tinggi.

S8: Bagaimanakah SFC memantau kebakaran di kawasan hutan yang luas dan sukar dimasuki?

Abang Arabi: SFC menggunakan gabungan teknologi dan pemantauan secara fizikal di lapangan bagi memperkukuhkan pengesanan awal serta kesiapsiagaan menghadapi risiko kebakaran, khususnya sepanjang musim cuaca panas dan kering. 

Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah pemantauan hotspot, penggunaan dron di kawasan tertentu yang dikenal pasti berisiko, rondaan darat oleh pegawai dan kakitangan SFC, serta perkongsian maklumat dan kerjasama dengan agensi teknikal berkaitan.

Penggunaan dron turut membantu dalam pemantauan kawasan yang luas atau sukar diakses, di samping membolehkan pegawai membuat penilaian awal terhadap keadaan di lapangan dengan lebih cepat.

Gabungan maklumat daripada sistem pemantauan titik panas, dron dan rondaan lapangan membolehkan pengesanan serta pengesahan awal dilakukan dengan lebih pantas, seterusnya membolehkan tindakan segera dan penyelarasan dengan agensi berkaitan dilaksanakan sebelum sesuatu kejadian kebakaran merebak dan menjadi lebih serius.

Pendekatan ini merupakan sebahagian daripada usaha SFC untuk memperkukuhkan sistem amaran awal, meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta melindungi TPA, biodiversiti dan habitat hidupan liar daripada ancaman kebakaran.

S9: Sekiranya kebakaran terbuka dikesan berhampiran atau di dalam kawasan perlindungan dan hutan simpan, apakah tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil?

Abang Arabi: Sekiranya berlaku kejadian kebakaran di dalam TPA, SFC akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan pihak yang bertanggungjawab berdasarkan bukti dan hasil siasatan.

Sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat unsur pelanggaran undang-undang yang melibatkan TPA, habitat atau hidupan liar, tindakan penguatkuasaan sewajarnya boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab berdasarkan peruntukan undang-undang di dalam Ordinan Taman Negara dan Rizab Semulajadi 1998 dan Ordinan Hidupan Liar, 1998.

Pendekatan SFC adalah tegas tetapi berasaskan bukti, fakta dan proses perundangan yang sewajarnya. Pada masa yang sama, kerjasama antara agensi akan terus diperkukuhkan bagi memastikan setiap kejadian dapat disiasat secara teratur dan tindakan yang bersesuaian dapat diambil, termasuk langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kejadian berulang.

S10: Dengan risiko jerebu rentas sempadan dan kebakaran terbuka yang boleh berulang setiap kali musim kering, adakah SFC berpandangan Sarawak perlu memperkukuhkan strategi jangka panjang?

Abang Arabi: Sudah tentu. Perubahan iklim dijangka meningkatkan risiko dan kekerapan kejadian cuaca ekstrem, termasuk tempoh cuaca panas serta musim kering yang lebih panjang. 

Keadaan ini berpotensi meningkatkan risiko kebakaran hutan, khususnya di kawasan yang sensitif seperti tanah gambut, hutan paya dan kawasan yang mempunyai sejarah kebakaran, sekali gus memberi tekanan kepada biodiversiti dan kestabilan ekosistem semula jadi.

Pada masa yang sama, corak guna tanah dan aktiviti pembangunan di sekitar kawasan hutan turut memainkan peranan penting dalam menentukan tahap risiko kebakaran. 

Aktiviti seperti pembukaan atau penebangan hutan, pengurusan tanah yang kurang baik, pembangunan pertanian serta pembangunan yang terlalu hampir dengan kawasan berisiko boleh meningkatkan tekanan terhadap ekosistem dan seterusnya meningkatkan kerentanan terhadap kejadian kebakaran.

Sehubungan dengan itu, Sarawak perlu mengambil pendekatan yang lebih bersepadu, berasaskan risiko dan berpandangan jauh dalam menghadapi cabaran perubahan iklim. 

Ini termasuk memperkukuhkan pengurusan dan perlindungan TPA, memastikan perancangan guna tanah mengambil kira kawasan penampan yang bersesuaian, memulihkan habitat yang terdegradasi, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kebakaran serta memperluaskan penggunaan teknologi pemantauan dan sistem amaran awal.

Bagi SFC, teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa penglibatan masyarakat dan kerjasama antara agensi. Oleh itu, penglibatan komuniti setempat dalam aspek pencegahan, pengesanan awal dan penyampaian maklumat perlu terus diperkasakan, terutama bagi kawasan yang bersempadan dengan penempatan, pertanian dan aktiviti manusia.

Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk melindungi biodiversiti, habitat dan hidupan liar Sarawak, tetapi merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk meningkatkan daya tahan landskap dan ekosistem terhadap perubahan iklim. Hutan Sarawak merupakan benteng semula jadi dalam menghadapi perubahan iklim. 

Selain menyimpan karbon, hutan memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan tadahan air, mengawal keseimbangan ekosistem dan mengurangkan kesan kejadian cuaca ekstrem. 

Justeru, memastikan hutan dan TPA terus dilindungi, diurus secara mampan dan berdaya tahan merupakan satu pelaburan jangka panjang untuk keselamatan alam sekitar, kesejahteraan masyarakat serta warisan generasi akan datang.

Penutup

Ancaman jerebu dan kebakaran hutan tidak terhenti apabila api berjaya dipadamkan. Kesan terhadap habitat, sumber makanan, kawasan pembiakan dan pergerakan hidupan liar boleh berpanjangan, malah berpotensi mengganggu keseluruhan rantaian ekologi.

Lebih membimbangkan, kehilangan atau gangguan habitat akibat kebakaran boleh menyebabkan hidupan liar bergerak menghampiri penempatan dan kawasan pertanian untuk mendapatkan makanan, air serta perlindungan, sekali gus meningkatkan potensi konflik dengan manusia.

Kesiapsiagaan SFC merangkumi pemantauan titik panas, penggunaan dron, rondaan darat dan sistem amaran awal, manakala pasukan teknikal serta veterinar turut bersedia menjalankan operasi menyelamat, rawatan dan translokasi sekiranya hidupan liar terjejas.

Namun, mesej paling jelas ialah pencegahan perlu bermula sebelum api merebak.

Perlindungan habitat, pengesanan awal, perancangan guna tanah, penglibatan komuniti serta kerjasama antara agensi menjadi benteng penting dalam memastikan khazanah biodiversiti Sarawak tidak menjadi mangsa kepada musim kering dan perubahan iklim.

Seperti ditegaskan SFC, hutan Sarawak bukan sekadar habitat hidupan liar, tetapi benteng semula jadi negeri dalam menghadapi perubahan iklim dan warisan yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang.

Oleh Earl Anek

Sampai bila

Dalam kehidupan bermasyarakat, kita sering bertanya tentang hal orang lain tanpa menyedari kesan pertanyaan tersebut terhadap perasaan mereka. Kita bertanya

Gerhana matahari penuh memukau di Eropah

BURGOS, Sepanyol: Jutaan penduduk Eropah dijangka menatap langit dengan penuh kagum apabila fenomena gerhana matahari penuh yang jarang berlaku merentasi

15 maut bot karam di Zimbabwe

MOSCOW: Sekurang-kurangnya 15 maut selepas sebuah bot yang membawa lebih 160 penumpang karam di Tasik Kariba, Zimbabwe pada Selasa, menurut