JIM Sarawak tahan 42 warga asing dalam Ops Sapu dan Ops Kutip

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI JIM Sarawak menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing dalam Ops Sapu dan Ops Kutip di tiga lokasi sekitar Kuching dan Kota Samarahan, awal pagi tadi.

KUCHING: Seramai 42 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di tiga lokasi sekitar Kuching dan Kota Samarahan, awal pagi tadi.

Operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuching dari 10.00 malam hingga 3.00 pagi tadi itu melibatkan pemeriksaan di rumah kongsi dan bilik sewa di sekitar Jalan Merdang Limau, Kota Samarahan dan Batu 6, Jalan Penrissen.

Dalam operasi berkenaan, seramai 45 individu diperiksa dengan 42 daripada mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Kutip selepas pemeriksaan di rumah kongsi dan bilik sewa di sekitar Kuching dan Kota Samarahan.

Menurut JIM Sarawak, operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan awam selain hasil risikan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuching.

Tindakan itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen terus berada pada tahap yang ditetapkan, khususnya di lokasi yang dikenal pasti hasil maklumat risikan dan aduan orang awam.

ANTARA warga asing ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Kutip selepas pemeriksaan di rumah kongsi dan bilik sewa di sekitar Kuching dan Kota Samarahan.

JIM Sarawak memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat risikan serta aduan awam yang diterima.

Sehubungan itu, kerjasama orang ramai amat dihargai dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang imigresen kepada pihak jabatan.

Oleh Adele Rissa