RM153,000 MRP bantu 31 pertubuhan komuniti Cina di Simanggang

Facebook
WhatsApp
PHILIP Foster Hollis yang mewakili ADUN Simanggang pada majlis penyerahan cek geran MRP bagi kawasan DUN Simanggang. Foto ADUN Simanggang

SIMANGGANG: Sebanyak 31 pertubuhan komuniti Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerima peruntukan berjumlah RM153,000 menerusi geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi membiayai pelbagai aktiviti dan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, berkata peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak membantu pertubuhan masyarakat melaksanakan aktiviti yang mampu memperkukuh kesejahteraan serta keharmonian komuniti.

Beliau berkata, sokongan kepada pertubuhan komuniti penting bagi memastikan pelbagai program kemasyarakatan dapat dilaksanakan secara berterusan, selain menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.

“Setiap penerima mempunyai tanggungjawab untuk memastikan peruntukan yang diterima digunakan sebaik mungkin bagi melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Geran MRP bagi kawasan DUN Simanggang yang disempurnakan oleh Pegawai Tadbir Khas, Philip Foster Hollis, yang mewakili beliau, di sini semalam.

Dalam pada itu, Philip Foster Hollis ketika menyampaikan ucapan ringkas menasihatkan semua wakil penerima supaya menggunakan peruntukan berkenaan secara berhemah serta mengutamakan kepentingan komuniti.

Katanya, usaha tersebut bukan sahaja dapat membantu menjayakan aktiviti pertubuhan, malah mampu memupuk semangat kekitaan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian.

“Gunakanlah peruntukan ini sebaik mungkin demi kesejahteraan komuniti serta memastikan setiap program yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, kestabilan politik turut menjadi antara faktor penting yang membolehkan Sarawak meneruskan agenda pembangunan serta menguruskan ekonomi negeri dengan baik.

Beliau berkata, pencapaian Sarawak dalam menjana pendapatan dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh perlu dipertahankan menerusi kestabilan politik serta kesinambungan dasar pembangunan negeri.

“Momentum pembangunan ini harus dikekalkan supaya pelan pembangunan Sarawak dapat diteruskan tanpa terencat dan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh masyarakat,” katanya.

Peruntukan MRP tersebut merupakan inisiatif yang disalurkan Kerajaan Sarawak melalui wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menyokong keperluan serta aktiviti masyarakat di kawasan masing-masing.

Oleh Adi Safarman