SUKAN lumba kuda merupakan salah satu sukan tertua di dunia.
Ia telah muncul di kebanyakan tamadun dunia. Budaya berkuda dalam masyarakat Asia Tengah memulakan aktiviti berbentuk hiburan dan riadah ini. Manakala, dalam tamadun-tamadun dunia lain seperti Tamadun Rom, aktiviti berkuda menjadi sukan popular seperti perlumbaan chariot.
Asal usulnya
Aktiviti lumba kuda yang mempunyai balapan lumba kuda (racecourse) bermula di England pada abad-18. Asal usulnya bermula dengan pertembungan Tamadun Islam dan Tamadun Barat semasa Perang Salib yang mencetuskan idea untuk mengimport kuda-kuda Arab yang berlari pantas, ke England. Kuda-kuda ini mula dipelihara bersama-sama kuda tempatan. Pada awal abad ke-18, perlumbaan kuda ini dijalankan dengan melibatkan beberapa kuda dan adanya penonton. Aktiviti ini kemudiannya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Britain. Selepas itu, muncul beberapa balapan lumba kuda dan kelab-kelab joki bagi mengurus perlumbaan ini.
Budaya lumba kuda ini kemudiannya disebar luas dalam empayar British, seperti di Amerika Syarikat telah adanya aktiviti ini pada sekitar tahun 1660-an. India pula mempunyai balapan lumba kuda pada tahun 1777 di Madras, Singapura memulakan aktiviti ini dengan penubuhan Turf Club pada tahun 1842 dan Hong Kong pula membina balapan lumba kuda Happy Valley pada tahun 1845.
Budaya lumba kuda ini seumpama satu kemestian bagi orang British. Di mana mereka bertapak, sudah semestinya ada diadakan aktiviti lumba kuda.
Tahun 1880
Namun, di Sarawak, pengenalan aktiviti ini agak lambat. Walaupun James Brooke telah bertapak di Sarawak sejak tahun 1840-an, tetapi beliau tidak membangunkan sukan tersebut.
Ternyata bukan James Brooke juga yang memulakan aktiviti ini, tetapi raja kedua Sarawak, iaitu Charles Brooke. Beliau juga mengambil masa agak lama memulakan aktiviti ini, walaupun telah menjadi raja Sarawak sejak 1867. Pengenalan aktiviti perlumbaan kuda ini hanya bermula 13 tahun selepas beliau menjadi raja, iaitu pada tahun 1880.
Hal ini berkemungkinan kerana pada dekad tersebut, Sarawak telah mencapai kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang membolehkan aktiviti seperti hiburan mula muncul. Idea beliau untuk mewujudkan aktiviti lumba kuda ini juga mendapat sokongan daripada pegawai-pegawainya yang rata-rata meminati aktiviti tersebut.
Balapan lumba kuda siap dibina di Kuching pada tahun 1880, tetapi pada hari ini balapan lumba kuda ini telah dipindahkan ke kawasan baharu. Pada awalnya balapan ini berbentuk bulat, iaitu mengikut pusingan arah jam.
Kuda padi
Untuk mengurus aktiviti lumba kuda ini, maka Jawatankuasa Lumba Kuching dibentuk. Pada awalnya kuda-kuda padi dari Sabah dan kuda padi Sulu dibawa masuk ke Sarawak. Selepas itu kuda padi Australia dan India diperkenalkan.
Mesyuarat perlumbaan kuda di Kuching pada tahun 1922, menetapkan bayaran untuk menyertai pertandingan tersebut adalah $10. Manakala, sebanyak 100 tiket dikeluarkan untuk menyaksikan pertandingan lumba kuda tersebut. Harga satu tiket ditetapkan pada kadar $2.
Pengundian untuk perlumbaan kuda itu juga dibuat di Kelab Sarawak. Mesyuarat itu juga menetapkan untuk mendapat kuda padi dari Sabah. Sebanyak 29 kuda padi telah sampai ke Kuching menerusi perjalanan laut. Hanya 20 sahaja didaftar untuk pertandingan lumba kuda ini. Sembilan lagi kuda padi ini disimpan di ladang Astana untuk digunakan pada perlumbaan tahun berikutnya.
Perlumbaan kuda pada tahun tersebut terbahagi kepada tujuh kelas pertandingan dengan tujuh piala berbeza, iaitu the Farm Syndicate Cup, the Kuching Cup, the BCL Cup, the SS Co. Cup, the Civil Service Cup, the Miri Cup and the Sarawak Cup. The Sarawak Cup menawarkan hadiah paling tinggi, iaitu $150. Manakala, The Farm Syndicate Cup, the BCL Cup dan the SS Co. Cup pula menawarkan hadiah sebanyak $100. The Kuching Cup, the BCL Cup dan the SS Co. Cup pula hanya menawarkan hadiah sejumlah $50. Jarak perlumbaan ini adalah 3 furlong (61 meter) untuk ketujuh-tujuh piala ini.
Penglibatan orang tempatan
Budaya lumba kuda ini asalnya diminati oleh orang Barat, tetapi kemudiannya secara beransur-ansur menyerap dalam masyarakat Cina dan penduduk tempatan. Soong Seng pernah mendaftar kuda padi beliau yang dinamakan Roman Candle. Orang Melayu juga mula berminat dalam pertandingan lumba kuda ini. Empat orang Melayu pernah mendaftar dalam perlumbaan itu pada tahun 1892.
Raja Vyner Brooke sering menyertai pertandingan lumba kuda ini. Di samping beliau, beberapa lagi pegawai Barat terlibat. Sebagai contohnya perlumbaan kuda pada tahun 1927 disertai, antaranya F. H. Pollard, J. D. Walderson, E. O. Bruce, J. A. H. Hardie, C. D. Adams dan P. M. Adams.
Dalam kalangan orang bukan British yang menyertai pertandingan lumba kuda ini ialah Abang Suleiman, Ali bin Dollah, Sri Binta Amin, Haji Hashim, Eng Guan Leong, Tan Ah Kim, Law Chen Hiang, Law Chen Hiang dan Ang Ong Chye. Ada juga yang menyertai sebagai sebuah syarikat atau badan-badan berbentuk kumpulan seperti Badad Kongsi, Messrs. T. T. Cheng & Wee Boon Chew, Triple Kongsi, Chan Brothers Kongsi, Law Kongsi dan Messrs Page Turner, Cutfield & Arundell.
Pada tahun 1902 Sultan Johor pernah menghantar kudanya bernama Hercules dalam pertandingan lumba kuda. Kuda baginda ternyata lebih hebat dalam pertandingan tersebut.
Kuda-kuda padi ini pula diberikan pelbagai nama yang beridentitikan tempatan dan barat seperti Shooting Star, Seduan, Heaver, Akal, Untong, Burak, Flying Fox, Azab, Mah Jongg, Singa, Bagaiman dan Osaha.
Joki
Beberapa orang tempatan juga menjadi penunggang kuda padi yang baik dan mereka juga menjadi joki bagi beberapa pertandingan lumba kuda. Dalam pertandingan lumba kuda pada tahun 1922, nama-nama joki dalam kalangan orang tempatan ialah Salleh, Rajak, Tahir dan Samat. Dalam senarai pemenang pertandingan lumba kuda pada tahun 1926 antara joki tersenarai termasuklah orang tempatan. Awang Damit tersenarai sebagai nombor dua selepas P. M. Adams dalam penguasaan kemenangan dalam perlumbaan lumba kuda itu. Beliau menang empat kali untuk tempat pertama.
Pertandingan lumba kuda pernah digantung sementara waktu apabila meletusnya Perang Dunia Pertama di Eropah. Pertandingan lumba kuda disambung balik pada tahun 1921. Perkara yang melucukan, permulaan perlumbaan ini bukannya lumba kuda, tetapi lumba kerbau kerana ketiadaan kuda ketika itu.
Manakala Kelab Lumba Kuda (Sarawak Turf Club) hanya ditubuhkan pada tahun 1924. Kelab ini menggantikan Jawatankuasa Perlumbaan Kuching yang dibentuk awal tadi untuk mengurus perlumbaan kuda.
Terdapat idea untuk membina balapan lumba kuda di Sibu dan Miri. Namun demikian, usaha ini tidak dapat dilaksanakan. Perang Dunia Kedua menghentikan semula pertandingan lumba kuda ini.