SEMPENA ulang tahun bandar raya Kuching bulan ini, wacana sejarah kali ini cuba memaparkan beberapa perubahan berlaku ke atas Kuching sejak awal kewujudannya.
Kuching pada asalnya merupakan perkampungan orang Melayu mula berkembang sebagai bandar metropolitan di Sarawak.
Pada zaman pemerintahan Brooke, bandar Kuching mengalami banyak perubahan hasil pengenalan bekalan air bersih, tenaga elektrik, amalan kesihatan moden dan perkhidmatan telefon dan telegraf.
Di tebingan sungai Sarawak pula muncul deretan kedai yang membentuk bazar yang membawa perkembangan ekonomi bandar tersebut.
Perubahan
Muncul pula beberapa bangunan kerajaan seperti Astana, Kubu Margherita, Court house, Pavilion, Square Tower, Bangunan Pejabat Pos, Muzium Sarawak, Bangunan Balai Polis Kuching dan Pasar Basah yang biasa dikenali sebagai Pasar Cheko.
Perkembangan ini telah mengubah lanskap bandar Kuching secara beransur-ansur, apabila penduduk tempatan mula membina kediaman dan premis berstrukturkan batu bata. Sebagai contoh, bangunan di Main Bazaar mula digantikan dengan binaan batu bata bagi menangani isu kebakaran yang pernah berlaku pada 1884.
Di perkampungan Melayu, penggunaan batu bata dalam seni bina juga berlaku, khususnya dalam pembinaan kediaman golongan pembesar Melayu. Antara contoh ketara ialah kediaman Darul Kurnia dan rumah Datu Bandar Abang Kassim.
Perkembangan penggunaan bahan binaan yang lebih kukuh ini turut dapat dilihat pada pembinaan masjid utama di Kuching yang menggunakan batu sebagai asas strukturnya.

Salah satu struktur binaan ikonik pada zaman Brooke ini adalah pembinaan Jambatan Gantung Satok. Jambatan ini adalah ilham Raja Charles Brooke dan telah dapat siap dibina pada 1926.
Pembinaan jambatan ini mengkagumkan penduduk Kuching dan seluruh pendudukSarawak kerana dibina tanpa tiang-tiang menyokongnya. Malah, ia menjadi tarikan kepada penduduk tempatan di Sarawak yang singgah di Kuching untuk melawatnya.
Dalam aspek pengangkutan, Kuching turut mengalami perkembangan apabila perkhidmatan kereta api diperkenalkan pada 1915. Kemudahan ini memainkan peranan penting dalam mempertingkat mobiliti penduduk serta melancarkan pergerakan barangan, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan kemajuan bandar Kuching.
Tetapi perkembangan jalan keretapi ini terbantut apabila dihentikan berikutan berlaku krisis ekonomi dunia pada 1929-1930. Terhentinya perkhidmatan keretapi pada 1933 ini memacu pula perkembangan pengangkutan udara.
Kapal terbang pertama mendarat di Kuching adalah kapal terbang laut yang mendarat di sungai Sarawak pada 1924. Pada 1928, Kuching mula menyaksikan pembinaan luncuran pesawat air (slipway) untuk pesawat laut mendarat dan berlepas.
Dari air perkhidmatan pesawat udara maju setapak lagi di Kuching apabila dibina satu landasan kapal terbang pada 1938.
Perang
Bandar ini juga tidak terlepas daripada ancaman perang dengan serangan tentera Jepun. Selepas tamatnya perang, bandar ini menyaksikan episod penting dalam penyerahan Jepun kepada tentera Australia.
Jepun tidak meninggalkan banyak legasi penting bagi Kuching tetapi tinggalan perangnya masih ada sehingga ke hari ini seperti Kem Tahanan Batu Lintang.
Selain itu kesan-kesan peninggalan Jepun boleh dilihat dan agak suram pada hari ini adalah bunker yang dibina di beberapa kawasan di Kuching. Bunker-bunker ini dibina untuk mempertahankan kedudukan Jepun di Sarawak. Ada juga bunker dibina untuk menyimpan senjata Jepun.

Foto Bernama
Pada zaman British, bandar Kuching mengalami perubahan dalam pemilihan ahli majlis bandar Kuching dengan diadakan pilihan raya. Dari segi lanskap Kuching, pemerintahan British tidak banyak melakukan perubahan. Hanya beberapa pengubahsuaian dilakukan.
Bangunan penjara yang dibina semasa Brooke antara Pangkalan Batu dengan Pejabat Kastam telah dirobohkan pada 1949. Selain itu rumah kurator muzium Sarawak dan rumah semangat (spirit house) telah dirobohkan untuk memberi laluan pembinaan ruang bacaan (reading room).
Ini kerana ruang bacaan yang dibina ditapak mubaligh Anglikan mengalami kesukaran menampung buku-buku yang terlalu banyak dan dijangka boleh roboh. Ruang bacaan ini siap dibina pada 1949.
Bahagian Urusetia (Secretariat) pula mendapat bangunan baharu di Jalan Barrack yang mengurangkan beban ruang pejabat di Court House, manakala Katedral St. Thomas berwajah baharu dengan mengantikan bangunan kayunya dengan bangunan binaan batu.
Selain pembinaan bangunan kerajaan, Kuching turut memperlihatkan perkembangan dalam sektor perniagaan. Pada 1957, Pasar raya Ting Ting mula beroperasi dan menawarkan alternatif baharu kepada penduduk Kuching untuk mendapatkan bekalan makanan serta pelbagai barangan keperluan harian.
Munculnya juga perkhidmatan hotel di Kuching dengan pembinaan Hotel Arif dan Hotel Aurora. Seterusnya bandar Kuching menjadi pusat perbincangan tentang Malaysia dengan ada mesyuarat Jawatankuasa Setiakawan Malaysia dan Jawatankuasa Antara Kerajaan.
Keselamatan
Selepas pembentukan Malaysia, Kuching tidak sunyi diancam oleh pergerakan komunis dan pencerobohan tentera Indonesia. Serangan ke atas Balai Polis Batu 18 oleh pihak komunis mengejutkan pihak kerajaan.
Serangan ini tidak melemahkan semangat penduduk bandar tersebut malah mereka bersama-sama memajukan dan melindungi bandar berkenaan.
Era-era selepas penubuhan Malaysia ini, Kuching semakin membangun. Pada 1965, Kuching diserikan dengan kemunculan Electra House. Bangunan ini menempatkan pusat berjual beli dan pejabat.
Pembinaannya menelan belanja sebanyak kira-kira RM3 juta. Ketika itu bangunan ini dianggap sebagai bangunan tertinggi di bandar Kuching. Arkitek kepada bangunan Electra House ini adalah Swan and Maclaren dan kontraktornya pula adalah San Development Co. Ltd.
Membangun
Tahun-tahun 1970-an pula Kuching mendapat bandar satelitnya iaitu Petra Jaya. Sebuah jambatan telah dibina pada 1974 untuk menghubungi kedua-dua kawasan ini.
Kuching terus maju jaya pada 1983 dengan pembinaan lapangan terbang baharu. Selain itu lanskap Kuching mula dihiasi dengan banyak lagi dengan bangunan komersial seperti Kuching Plaza, Sarawak Plaza, Wisma Saberkas dan Wisma Hopoh yang dibina sekitar 1980-an.
Perkembangan yang dipaparkan dalam wacana ini memperlihatkan bagaimana Kuching mengalami perkembangan yang progresif dan dinamik seiring dengan pembangunan semasa.
Selepas menjadi bandar raya pula, Kuching terus melangkah ke hadapan untuk mencipta banyak lagi kemajuan dan kemakmuran untuk penduduknya.
- Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.





