‘Killer instinct’ kunci atlet Sarawak buru kejuaraan SUKMA – Abdul Karim 

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan amanat kepada atlet Kontinjen Sarawak pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, Selangor 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini. Foto JAPEN

KUCHING: Atlet Sarawak perlu memiliki semangat juang yang tinggi untuk muncul juara apabila berdepan pesaing pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor 2026.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tahap latihan dan persiapan atlet dari setiap negeri mungkin hampir setara, namun kekuatan mental serta keinginan untuk menang menjadi faktor yang mampu membezakan antara juara dengan naib juara.

Menurutnya, setiap atlet Sarawak perlu menanamkan keyakinan bahawa mereka mampu mengatasi mana-mana lawan tanpa mengira pengalaman atau reputasi yang dimiliki pesaing.

“Perkara yang akan membezakan sama ada kamu akan menjadi juara, kalah atau mendapat tempat kedua ialah kekuatan semangat dan semangat juang untuk menjadi nombor satu.

“Itulah yang kita mahu daripada kamu semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, Selangor 2026, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata, atlet tidak seharusnya gentar walaupun berdepan pesaing yang pernah bertanding di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Menurutnya, setiap atlet mempunyai peluang yang sama selepas menjalani latihan dan persiapan rapi, justeru kekuatan mental perlu dijadikan kelebihan ketika turun bertanding.

“Apabila kamu mempunyai semangat juang yang tinggi, tiada apa yang boleh menghalang kamu daripada menjadi juara, walau sebesar mana pun lawan atau nama mereka,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebahagian atlet Sarawak dijangka berlepas ke Selangor menggunakan penerbangan AirBorneo dalam masa terdekat bagi menghadapi temasya berkenaan.

Abdul Karim turut mengingatkan atlet Sarawak bahawa mereka membawa harapan seluruh rakyat negeri itu ketika beraksi di Selangor.

Sarawak hadir sebagai juara bertahan selepas berjaya menamatkan penantian 30 tahun untuk muncul juara keseluruhan ketika menjadi tuan rumah SUKMA 2024.

Menurutnya, kejayaan itu perlu dibuktikan sekali lagi di Selangor kerana pertandingan kali ini berlangsung di gelanggang berbeza tanpa kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Tetapi kali ini kita berada di gelanggang yang berbeza. Kita perlu membuktikan bahawa apabila kita berada di Selangor, kita tetap mampu menjadi juara,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan atlet dan pegawai kontinjen supaya menjaga disiplin sepanjang berada di Selangor kerana mereka turut membawa imej Sarawak.

“Kamu semua juga adalah duta Sarawak. Apa yang kamu lakukan boleh mengangkat nama dan juga boleh mencemarkan nama Sarawak.

“Sebab itulah apa-apa yang kita lakukan, kita perlu mengekalkan disiplin dan memastikan nama Sarawak sentiasa harum selepas SUKMA,” katanya.

SUKMA ke-22 Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini, manakala temasya Para SUKMA 2026 dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 14 September depan.

Oleh Adele Rissa

75 emas sasaran Sarawak pada SUKMA ke-22

KUCHING: Kontinjen Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 75 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos