Usaha realisasi sekolah menengah Pantu terus diperkasa

Facebook
WhatsApp
DATO’ Sri Doris Sophia Brodie semasa hadir pada sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan yang diadakan di Pejabat Daerah Pantu, semalam. Foto: Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Aman

PANTU: Usaha merealisasikan cadangan pembinaan sebuah sekolah menengah di Daerah Pantu terus diperkasakan menerusi sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan yang diadakan di Pejabat Daerah Pantu, semalam.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, sesi berkenaan merupakan kesinambungan usaha untuk membincangkan perkembangan kertas kerja serta proses cadangan pembinaan sekolah menengah berkenaan.

Menurutnya, sesi libat urus itu penting bagi mendapatkan pandangan, input dan sokongan daripada semua pihak berkaitan sebelum cadangan tersebut dikemukakan untuk pertimbangan selanjutnya.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan cadangan pembinaan sekolah menengah ini dapat dirancang dengan lebih teliti dan mengambil kira keperluan sebenar masyarakat setempat,” katanya.

Sesi berkenaan turut dihadiri wakil ADUN Balai Ringin, wakil ADUN Bukit Begunan, Pegawai Daerah Pantu, Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Doris berkata, keperluan terhadap kemudahan pendidikan menengah yang lebih dekat semakin penting susulan perkembangan penduduk dan peningkatan keperluan pendidikan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, kewujudan sebuah sekolah menengah di Pantu bukan sahaja dapat menyediakan akses pendidikan yang lebih dekat, malah memberi persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif kepada pelajar.

Pada masa sama, pembinaan sekolah berkenaan mampu mengurangkan keperluan pelajar untuk berulang-alik atau tinggal jauh daripada keluarga bagi mendapatkan pendidikan menengah.

“Keadaan ini secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban ibu bapa, khususnya dari segi kos pengangkutan dan perbelanjaan sara hidup anak-anak yang terpaksa mendapatkan pendidikan di kawasan lebih jauh,” katanya.

Doris menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas penting dalam pembangunan modal insan, justeru penyediaan kemudahan pendidikan yang mencukupi dan berkualiti perlu seiring dengan perkembangan masyarakat setempat.

Beliau berharap hasil sesi libat urus itu dapat memperkukuh kertas kerja serta justifikasi cadangan pembinaan sekolah berkenaan untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi pertimbangan dan tindakan selanjutnya.

“Semoga usaha bersama ini menjadi satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan impian masyarakat Pantu untuk mempunyai sebuah sekolah menengah sendiri demi masa depan anak-anak dan generasi akan datang,” katanya.

Turut hadir, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman, PPD Simunjan dan PPD Balai Ringin, wakil Pejabat Residen Sri Aman serta Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum dari Daerah Pantu.

Oleh Adi Safarman

75 emas sasaran Sarawak pada SUKMA ke-22

KUCHING: Kontinjen Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 75 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor 2026 dalam usaha memburu kejuaraan