SIMANGGANG: Kebakaran belukar membabitkan kawasan seluas kira-kira empat hektar dikesan berlaku di Jalan Kejatau-Lingga, dekat sini, tengah hari tadi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.19 petang.
Susulan laporan tersebut, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada 1.35 petang dan terus menjalankan operasi bagi mengawal serta memadam kebakaran berkenaan.

Kebakaran terbabit melibatkan kawasan belukar dengan keluasan dianggarkan sekitar empat hektar.
PGO JBPM Sarawak bagaimanapun memaklumkan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Noor Faqriakmal Jamari selaku Komander Operasi.
Turut hadir memantau operasi Ketua Zon 2 JBPM Sarawak Sri Aman, PgB Muhammad Rais Adham Rosalan serta Pegawai Zon Sri Aman, PPgB Shaibullah Sabeli.

Seramai tujuh anggota BBP Sri Aman terbabit dalam operasi berkenaan dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah van.
Pasukan bomba masih menjalankan tindakan di lokasi bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya serta mengelakkan api merebak ke kawasan berhampiran.
Oleh Adi Safarman





