KUCHING: Orang ramai dinasihatkan supaya peka terhadap bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan mematuhi panduan aktiviti luar dalam keadaan jerebu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, terdapat garis panduan yang menetapkan tindakan tertentu apabila bacaan IPU mencapai tahap ditetapkan, termasuk berkaitan aktiviti luar.
“Apabila jerebu mencapai tahap tertentu, ada garis panduan dan kita perlu menghentikan semua aktiviti luar.
“Orang ramai juga perlu memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengekalkan hidrasi ketika keadaan jerebu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Hospital HMI Malaysia di Northbank, hari ini.
Tambah beliau, mereka yang gemar melakukan aktiviti seperti berjoging perlu mengetahui kategori bacaan IPU dan mematuhi pengumuman yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC).
“Penting untuk semua orang tahu apa yang sihat dan apa yang tidak sihat dalam melakukan sesuatu aktiviti.
“Golongan yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan seperti asma perlu lebih berhati-hati kerana mereka antara yang akan lebih terkesan ketika keadaan jerebu.
“Kalau anda menghidap asma dan sebagainya, anda tidak boleh melakukan aktiviti luar apabila IPU mencapai tahap tidak sihat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Sim berkata, pengurusan jerebu memerlukan penyelarasan pelbagai agensi kerana keadaan itu turut melibatkan sektor kesihatan, pendidikan dan agensi lain.
Beliau berkata, Premier Sarawak telah meminta Datuk Amar Douglas Uggah Embas melihat isu jerebu dari sudut SDMC, yang berperanan menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan.
Katanya, penglibatan sesuatu agensi bergantung kepada keperluan dan pihak yang dipanggil oleh sekretariat SDMC untuk menangani keadaan jerebu semasa.
Untuk rekod, berdasarkan bacaan IPU pada pagi ini, sebanyak sembilan kawasan di Sarawak merekodkan tahap tidak sihat, dengan Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 179, diikuti Kuching dan Samarahan masing-masing 161.
Oleh Masrin Affirah




