BINTANGOR: Kemudahan asrama sekolah bukan sekadar menyediakan tempat tinggal kepada murid, malah memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, jati diri, kepimpinan dan sikap berdikari bagi melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kehidupan di asrama turut membantu murid mengurus masa dengan lebih baik, sekali gus menyokong pencapaian mereka dalam bidang akademik dan kokurikulum.
“Asrama bukan sekadar tempat tinggal, malah menjadi wadah dalam membentuk disiplin, jati diri, kepimpinan dan sikap berdikari dalam kalangan murid.
“Melalui kehidupan di asrama, murid dapat mengurus masa dengan lebih baik serta meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Terbuka Asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor 2026, baru-baru ini.
Katanya, program berkenaan menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti, selain memberi peluang kepada ibu bapa mengenali kehidupan serta persekitaran asrama dengan lebih dekat.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pihak sekolah atas usaha menganjurkan program ini yang menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara sekolah, ibu bapa dan komuniti, di samping memberi peluang kepada ibu bapa mengenali kehidupan dan persekitaran asrama dengan lebih dekat.
“Program ini dilaksanakan melalui Sistem Komuniti Asrama (SisKA) yang memberi penekanan terhadap kerjasama sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam menyokong pendidikan serta perkembangan murid,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, asrama baharu SK Bandar Bintangor yang mempunyai kapasiti 30 murid kini mencapai kadar penghunian 100 peratus, membabitkan 18 murid lelaki dan 12 murid perempuan.
“Pencapaian ini membuktikan keyakinan ibu bapa terhadap kemudahan asrama yang disediakan dan peranannya dalam menyokong pendidikan dan pembangunan sahsiah murid,” katanya lagi.
Beliau turut memuji pencapaian murid asrama tersebut yang berjaya mengharumkan nama sekolah, antaranya muncul johan keseluruhan Karnival Seni dan Sukan Asrama Daerah Meradong, johan Bola Tampar Bahagian Sarikei serta johan Bola Tampar Pembangunan Bahagian Sarikei.
Selain itu, murid SK Bandar Bintangor turut meraih tempat ketiga dalam pertandingan Tarian Cina Peringkat Negeri Sarawak.
“Tahniah kepada murid, guru, warden dan ibu bapa atas sokongan yang diberikan,” katanya.
Koung Hiing berharap lebih ramai ibu bapa dapat memanfaatkan kemudahan asrama bagi membantu anak-anak memperoleh pendidikan yang lebih baik, terutama mereka yang berdepan masalah kehadiran ke sekolah akibat kekangan pengangkutan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru dan warden atas komitmen menyediakan persekitaran asrama yang selamat serta kondusif kepada murid.
“Semoga kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan komuniti terus diperkukuhkan demi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan komitmen untuk menaik taraf prasarana dapur SK Bandar Bintangor bagi menambah baik kemudahan sedia ada di sekolah tersebut.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Nasaruddin Ibrahim; Guru Besar SK Bandar Bintangor, Zamerene Ruin dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bandar Bintangor, Jmann Julaihi.
Oleh Earl Anek





