30 tahun berlalu, perbicaraan akhirnya bermula dalam kes pembunuhan Tupac Shakur

Facebook
WhatsApp
KES pembunuhan Tupas Shakur atau 2Pac, antara kes berprofil tinggi di Amerika Syarikat yang masih belum terungkai.

LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Bekas ketua kumpulan samseng akan dibicarakan di Las Vegas berhubung pembunuhan penyanyi rap Tupac Shakur yang berlaku beberapa dekad lalu, dalam salah satu kes pembunuhan berprofil tinggi di Amerika Syarikat yang masih belum terungkai.

Prosiding yang dijangka berlangsung selama sebulan itu berkemungkinan tidak menjelaskan siapa yang melepaskan tembakan sehingga meragut nyawa legenda hip-hop berkenaan pada malam 7 September 1996, ketika beliau berada di Las Vegas untuk menyaksikan perlawanan tinju Mike Tyson.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan akan cuba membuktikan bahawa tertuduh, Duane “Keffe D” Davis, bekas ketua South Side Compton Crips, mengarahkan pembunuhan itu serta menyediakan senjata api yang digunakan untuk membunuh Shakur dalam serangan tembak dari kenderaan.

Davis, 63, berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa pembebasan bersyarat jika disabitkan kesalahan.

Pembunuhan Shakur, yang turut dikenali sebagai 2Pac, merupakan antara kes pembunuhan lama paling terkenal di Amerika Syarikat dan mencetuskan perdebatan berpanjangan dalam kalangan peminat muzik mengenai pelaku serta motif pembunuhan itu.

Penyanyi rap berkenaan meninggal dunia pada usia 25 tahun dan merupakan antara tokoh utama dalam persaingan hip-hop antara Pantai Timur dan Pantai Barat Amerika Syarikat.

Terkenal menerusi lagu seperti “California Love” dan “All Eyez on Me”, Shakur yang merupakan anak kepada anggota kumpulan Black Panther, dibesarkan di Harlem dan Baltimore sebelum muncul sebagai ikon “bad boy” California selepas menandatangani kontrak dengan Death Row Records yang berpangkalan di Los Angeles.

Perbicaraan itu akan mengimbas kembali perseteruan antara Death Row, yang diasaskan Marion “Suge” Knight, dengan Bad Boy Records, label Pantai Timur yang diasaskan Sean “Diddy” Combs dan menampilkan Christopher “The Notorious B.I.G.” Wallace, yang dibunuh pada Mac 1997.

Pendakwaan berkata, Death Row Records dilindungi Mob Piru, kumpulan samseng Los Angeles yang merupakan sebahagian daripada pakatan Bloods. Knight mempunyai hubungan dengan kumpulan berkenaan.

Bad Boy Records pula mengupah kumpulan pesaing, South Side Compton Crips yang diketuai Davis, sebagai pengawal keselamatan.

Selepas perlawanan Tyson di kasino MGM Grand, Knight dan Shakur membelasah anak saudara Davis, Orlando “Baby Lane” Anderson, yang juga anggota Crips, sebagai tindakan membalas dendam terhadap dakwaan serangan ke atas seorang pekerja Death Row.

Menurut pendakwaan, Davis kemudian mahu membalas dendam.

Pada malam itu, sebuah Cadillac putih yang membawa Davis, Anderson dan beberapa individu lain berhenti di sebelah kereta Shakur di Las Vegas. Beberapa das tembakan dilepaskan dari Cadillac berkenaan dan Shakur cedera parah sebelum meninggal dunia.

Memoir yang memakan diri

Siasatan kes itu tidak banyak perkembangan selama beberapa dekad berikutan kekurangan bukti, namun kes berkenaan kembali mendapat perhatian selepas memoir Davis diterbitkan pada 2019.

Dalam buku itu, Davis menceritakan bahawa dia duduk di tempat duduk hadapan Cadillac berkenaan dan menyerahkan sepucuk pistol kepada individu yang berada di tempat duduk belakang. Bagaimanapun, dia tidak menyatakan siapa yang melepaskan tembakan ke arah Shakur.

Semua individu lain yang berada dalam Cadillac itu pada malam kejadian kini telah meninggal dunia.

Pendedahan yang boleh mengaitkan Davis dengan kejadian itu selari dengan kenyataan yang pernah dibuatnya kepada wartawan sebelum ini. Namun, kali ini kenyataan berkenaan kembali menghantuinya apabila dia ditahan pada September 2023.

Davis kemudiannya menarik balik kenyataannya dan mengaku tidak bersalah.

“Saya tidak bersalah. Saya tidak membunuh sesiapa. Saya tidak pernah membunuh sesiapa,” kata Davis dalam satu temu bual dari penjara bersama ABC News pada Mac 2025.

“Mereka tidak mempunyai bukti terhadap saya. Mereka juga tidak boleh membuktikan saya berada di Las Vegas,” katanya.

Davis kini mendakwa dia berada di Los Angeles pada malam Shakur dibunuh dan tidak pernah membaca memoirnya sendiri. Beliau mendakwa kenyataan dalam buku itu telah diperbesar-besarkan oleh penulis bersamanya bagi meningkatkan jualan.

“Saya hanya memberikan kepadanya butiran mengenai kehidupan saya. Kemudian dia menjalankan siasatan sendiri dan menulis buku itu,” katanya.

Menjelang perbicaraan, peguam Davis gagal menghalang memoir berkenaan daripada dikemukakan sebagai bahan bukti, termasuk kenyataan yang dibuatnya dalam temu bual dengan polis pada 2008 sebagai saksi pembunuhan itu.

Prosiding akan dimulakan dengan pemilihan anggota juri yang dijangka mengambil masa seminggu.

Walau apa pun keputusan perbicaraan, ia berkemungkinan tidak memuaskan hati mereka yang rapat dengan Shakur.

Pada Mei lalu, saudara tiri penyanyi rap itu, Maurice Shakur, memfailkan saman kematian salah di mahkamah sivil.

“Masih terdapat individu yang terlibat dalam pembunuhan Tupac yang selama 30 tahun tidak pernah dipertanggungjawabkan atas jenayah mereka,” menurut tuntutan tersebut.

Saman itu turut memetik siri dokumentari televisyen terbaharu bertajuk Sean Combs: The Reckoning, yang memaparkan kenyataan Davis dalam temu bual dengan polis bahawa Combs, yang kini turut menjalani hukuman penjara, menawarkan AS$1 juta kepadanya untuk membunuh Shakur.