Warga emas hilang di hutan ditemui selamat 50 meter dari rumah

Facebook
WhatsApp
OPERASI mencari warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, pagi tadi. Mangsa ditemui selamat kira-kira 50 meter dari belakang rumahnya. Foto JBPM Sarawak

PADAWAN: Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran rumahnya di Kampung Emperoh Jambu, Jalan Jambu-Bayur, di sini, ditemui selamat pagi tadi.

Mangsa, Jujoh Jimor, ditemui keluar sendiri dari kawasan hutan pada kira-kira 6.50 pagi, sebelum operasi pencarian ditamatkan pada 7.30 pagi.

Ketua Operasi, PBK I Mohamad Ismail Zulkipli berkata, mangsa ditemui kira-kira 50 meter dari belakang rumahnya dalam keadaan selamat.

“Operasi pencarian dilakukan seawal 6.00 pagi dan mangsa kemudian dilihat keluar sendiri dari kawasan hutan dalam keadaan selamat.

“Pihak Bomba akan membawa mangsa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa sebelum itu dilaporkan keluar ke sungai kira-kira 150 meter dari rumahnya pada tengah hari semalam untuk mandi, namun tidak pulang sehingga 10.00 malam.

Katanya, anak mangsa kemudian memaklumkan kejadian kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok yang diketuai Alice, sebelum pencarian dilakukan di sekitar sungai dalam radius antara 100 hingga 200 meter.

“Pencarian awal tidak menemui mangsa sebelum operasi ditangguhkan pada 2.30 pagi dan disambung semula pada awal pagi,” katanya.

Operasi melibatkan dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dengan sebuah kenderaan utiliti, selain dibantu 12 anggota PBS Simpok.

Oleh Shikin Mahmud