Perak jadikan Serikin penanda aras pembangunan ICQS Pengkalan Hulu

Facebook
WhatsApp
MENTERI Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad ketika ditemui media selepas lawatan tapak pembinaan ICQS Serikin, Bau, sempena Program Penanda Aras Pengurusan Sempadan hari ini. Foto Nadya Victoria

BAU: Projek pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin menjadi rujukan penting Perak dalam merancang pembangunan kemudahan serupa di Pengkalan Hulu, Hulu Perak yang bersempadan dengan Thailand.

Menteri Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad berkata, lawatan ke tapak pembinaan ICQS Serikin memberi gambaran dan maklumat berguna kepada pihaknya, khususnya dalam persediaan pembangunan ICQS di Pengkalan Hulu.

Katanya, kedua-dua kawasan mempunyai persamaan dari segi bentuk muka bumi dan persekitaran, termasuk kawasan berbukit, tanah merah serta kawasan pedalaman.

“Kita datang ke sini sebab hendak melihat projek pembangunan ICQS Serikin.

DATO Seri Saarani Mohamad (tengah) bersama Datuk Henry Harry Jinep (kanan) mendengar taklimat mengenai tapak pembinaan ICQS Serikin, Bau, sempena Program Penanda Aras Pengurusan Sempadan hari ini. Foto Adele Rissa

“Suasananya lebih kurang sama dengan satu lagi projek ICQS yang akan dibina di Perak, iaitu di sempadan antara Thailand dengan Perak di Pengkalan Hulu, Hulu Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika lawatan tapak sempena Program Penanda Aras Pengurusan Sempadan oleh Menteri Besar Perak dan Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Perak ke Sarawak di tapak pembinaan ICQS Serikin, Bau, hari ini.

Saarani berkata, lawatan tersebut turut bertujuan mendapatkan maklumat sebagai persediaan untuk rundingan dengan Kementerian Dalam Negeri berkaitan kadar kos serta pembangunan kawasan ICQS Pengkalan Hulu.

“Kita lihat keadaannya lebih kurang sama dengan bukit, tanah merah dan kawasan pedalaman.

“Jadi kita hendak lihat kerana kita mahu berunding dengan Kementerian Dalam Negeri tentang kadar harga dan juga bagaimana kita hendak membangunkan kawasan itu bukan hanya untuk ICQS tetapi juga untuk tujuan pelancongan di Pengkalan Hulu,” ujarnya.

Menurutnya, lawatan ke ICQS Serikin merupakan sebahagian daripada program penanda aras pengurusan sempadan rombongan JKKN Perak yang turut mengadakan lawatan ke ICQS Sungai Tujuh di Miri semalam.

Saarani berkata, rombongan berkenaan menerima taklimat daripada Pengarah Imigresen Negeri Sarawak di ICQS Sungai Tujoh sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching hari ini.

“Kita bersyukur kerana dapat datang dan mendengar taklimat daripada jurutera tadi. Kita harapkan ia sedikit sebanyak dapat memberikan maklumat kepada kami,” katanya.

Beliau berkata, maklumat yang diperoleh sepanjang lawatan berkenaan akan dibawa ke mesyuarat JKKN Perak yang dijadualkan berlangsung di Kuching esok.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan diadakan sebelum rombongan berlepas pulang ke Perak pada Selasa.

Saarani turut menjelaskan bahawa Pengkalan Hulu merupakan kawasan di Perak yang bersempadan dengan Thailand, manakala kawasan di sebelah Thailand dikenali sebagai Betong.

Oleh Adele Rissa