ICQS Serikin bakal jadikan Bau bandar transit baharu

Facebook
WhatsApp
DATUK Henry Harry Jinep ketika ditemui media di lawatan tapak pembinaan ICQS Serikin, Bau, sempena Program Penanda Aras Pengurusan Sempadan di Serikin, Bau hari ini. Foto Adele Rissa

BAU: Bau dijangka muncul sebagai bandar transit baharu menuju sempadan Indonesia apabila Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin siap kelak, sekali gus membuka peluang lebih besar dalam sektor pelancongan, sosioekonomi, perdagangan dan pergerakan rentas sempadan.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, kewujudan ICQS berkenaan bakal memberi impak besar kepada pembangunan Bau memandangkan kawasan itu akan menjadi laluan transit utama dari Serikin menuju sempadan Indonesia.

“Bau akan menjadi bandar transit baharu dari Serikin menuju ke sempadan Indonesia.

“Ini sesuatu yang kita nantikan dari segi pelancongan, sosioekonomi, pergerakan orang ramai dan perdagangan kerana ia akan memberi banyak impak kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika lawatan tapak sempena Program Penanda Aras Pengurusan Sempadan oleh Menteri Besar Perak dan Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Perak ke Sarawak di tapak pembinaan ICQS Serikin, Bau, hari ini.

Beliau berkata projek berkenaan kini mencatat kemajuan kira-kira tujuh peratus sejak penyerahan tapak pada Disember tahun lalu dan perkembangan setakat ini adalah baik.Katanya, kerja utama yang sedang dijalankan ketika ini ialah kerja tanah melibatkan jumlah tanah yang besar untuk dipotong dan ditambak sebelum kerja pembinaan bangunan dimulakan.

“Sekiranya cuaca terus baik, kita yakin projek ini boleh disiapkan dalam tempoh dua tahun dan itu yang kita harapkan,” ujarnya.

Harry Jinep berkata lawatan Menteri Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad, ke Bau turut memberi suntikan semangat kepada usaha pembangunan kawasan berkenaan, selain meningkatkan perhatian terhadap Serikin dan ICQS yang sedang dibangunkan.

“Sekarang Bau menjadi tumpuan dan semua orang mahu datang ke Bau. Bukan sahaja Serikin, malah ICQS juga menjadi satu lagi perkara yang menarik untuk dikunjungi,” katanya.

Beliau berkata projek ICQS di pihak Indonesia pula telah lama siap dan kini menunggu kemudahan di sebelah Sarawak disempurnakan.

MENTERI Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad (tengah) bersama Datuk Henry Harry Jinep (dua kiri) selepas taklimat mengenai tapak pembinaan ICQS Serikin, Bau, sempena Program Penanda Aras Pengurusan Sempadan hari ini. Foto Adele Rissa

“Jadi kita perlu melaksanakan tanggungjawab ini dan saya perlu memantau projek secara berkala.

“Begitu juga dengan projek-projek lain yang mengalami kelewatan. Kita harap dapat bekerjasama dan kontraktor akan menyiapkan projek ini,” tegasnya.

Sementara itu, Harry Jinep menjelaskan bahawa pergerakan rentas sempadan ketika ini masih terhad kepada penduduk yang menggunakan pas sempadan sementara.

Katanya, penduduk Bau hanya boleh bergerak sehingga Seluas, manakala penduduk Indonesia dari Seluas hanya dibenarkan memasuki kawasan sehingga Bau dan tidak boleh meneruskan perjalanan lebih jauh.

“Buat masa ini mereka belum menggunakan pasport. Apabila ICQS siap, orang ramai boleh menggunakan pasport seperti kemasukan biasa dan kenderaan juga boleh bergerak keluar masuk,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Harry Jinep turut menasihatkan masyarakat setempat supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika keadaan jerebu berlaku, khususnya apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada paras tinggi.

Menurutnya, keadaan jerebu dari kawasan seberang sempadan bukan perkara baharu dan berlaku hampir setiap tahun, namun puncanya berada di luar kawalan Sarawak.

“Keadaan ini bukan masalah sekali-sekala kerana ia berlaku hampir setiap tahun. Kita tidak banyak yang boleh dilakukan kerana ia datang dari sebelah sana (Indonesia).

“Cuma masyarakat kita perlu berhati-hati apabila melakukan aktiviti di luar. Jika bacaan IPU mencecah sehingga 150, ia tidak begitu selamat untuk melakukan aktiviti di luar,” katanya.

Oleh Adele Rissa

Kuasai AI atau ketinggalan – Tiang

SIBU: Penguasaan kemahiran kecerdasan buatan (AI) kini menjadi keperluan penting bagi masyarakat untuk kekal berdaya saing dalam dunia pekerjaan, perniagaan