Program SKS Bahagian Sarikei rekod 115,150 pengunjung setakat 5.00 petang

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH...Martini Jaapar Sidek menerima hadiah utama e-Peraduan di Program SKS Bahagian Sarikei 2026.

SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 merekodkan 115,150 pengunjung setakat 5.00 petang hari ini, sekali gus jauh mengatasi sasaran awal seramai 30,000 pengunjung sepanjang penganjurannya selama tiga hari.

Sambutan luar biasa itu membuktikan SKS terus mendapat perhatian masyarakat apabila menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, pameran agensi, jualan usahawan tempatan, aktiviti komuniti, sukan rakyat dan pelbagai pengisian lain di Kompleks Sukan Sarikei.

Selain menyediakan platform kepada rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung, program tersebut turut membuka peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk serta memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat.

Majlis penangguhan program turut diserikan dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah e-Peraduan kepada para pemenang yang berjaya membawa pulang hadiah bernilai tinggi.

Martini Jaapar Sidek muncul pemenang hadiah utama apabila membawa pulang gelang emas 916 bernilai kira-kira RM15,000.

Tempat kedua dimenangi oleh Margaret Jana yang membawa pulang sebuah motosikal Nova 200CC, manakala Nur Alya Nabila Abdullah memenangi tempat ketiga dengan hadiah berupa set sofa.

Hadiah-hadiah utama telah disampaikan oleh Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom.

Cabutan bertuah e-Peraduan merupakan antara pengisian yang paling dinanti-nantikan pengunjung sepanjang penganjuran Program SKS Bahagian Sarikei.

Penganjuran SKS Bahagian Sarikei 2026 menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan tempatan dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Kejayaan merekodkan lebih 115,000 pengunjung setakat 5.00 petang membuktikan Program Sarawakku Sayang terus menjadi platform berkesan dalam mendekatkan kerajaan dengan rakyat, selain mempromosikan pembangunan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan di Sarawak.

Oleh Earl Anek