Taman Tumbina bakal dibuka waktu malam dua kali sebulan mulai Oktober

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN..Dato Haidar Khan Asghar Khan bersama rakan-rakan strategik dan para peniaga yang menjayakan Pesta Tumbina pada majlis penutupan Pesta Tumbina yang berlangsung petang tadi.

BINTULU: Taman Tumbina bakal dibuka kepada orang ramai pada waktu malam secara berkala, dengan perancangan untuk mengadakan pembukaan sebanyak dua kali sebulan bermula Oktober ini.

Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dato Haidar Khan Asghar Khan, berkata perkara itu susulan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap aktiviti berjalan pada waktu malam (night walk) yang diperkenalkan sempena Pesta Tumbina 2026.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penutupan Pesta Tumbina 2026 di Taman Tumbina, hari ini.

Menurut beliau, sambutan terhadap aktiviti berkenaan menunjukkan masyarakat Bintulu berminat untuk menikmati suasana Taman Tumbina pada waktu malam, yang menawarkan pengalaman berbeza berbanding kunjungan pada waktu siang.

DATO Haidar ditemui media selepas majlis penutupan Pesta Tumbina, petang tadi.

“Memang ramai permintaan daripada umum supaya Tumbina dibuka pada waktu malam.

“Memang sudah ada perancangan supaya kita buka dalam satu bulan dua kali. Kita buka malam dua kali sebulan, insya-Allah mungkin Oktober tahun ini,” katanya.

Beliau berkata pembukaan Taman Tumbina pada waktu malam itu akan dinilai dari segi sambutan pengunjung sebelum pihak pengurusan mempertimbangkan untuk meningkatkan kekerapan pembukaan kepada setiap minggu pada masa akan datang.

Katanya, pihak pengurusan juga akan melihat keperluan untuk memperkenalkan pengisian atau aktiviti baharu bagi menjadikan kunjungan pada waktu malam lebih menarik kepada masyarakat.

“Kalau tengok malam, macam semalam, penduduk kita tidak pernah mengalami sesuatu seperti ini. Jadi, kita boleh berjalan-jalan di dalam, ada perjalanan malam dan sebagainya.

“Ini adalah sesuatu yang baharu masyarakat nantikan,” katanya.

Menurut beliau, suasana Taman Tumbina yang dihiasi pencahayaan dan dekorasi khas pada waktu malam turut menjadi antara tarikan kepada pengunjung sepanjang Pesta Tumbina 2026.

Beliau berkata pembukaan pada waktu malam secara berkala itu akan memberi peluang kepada masyarakat menikmati Taman Tumbina dalam suasana berbeza, selain berpotensi menarik lebih ramai pengunjung dari luar Bintulu.

Dalam pada itu, Pesta Tumbina 2026 dijangka mencatat kehadiran sehingga 70,000 pengunjng apabila melabuhkan tirainya malam ini.

Dato Haidar berkata jumlah pengunjung yang direkodkan setakat tengah hari tadi telah mencecah kira-kira 47,800 pengunjung.

DATO Haidar menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Lembaga Pelabuhan Bintulu selaku rakan strategik utama Pesta Tumbina 2026.

Menurutnya, jumlah itu dijangka terus meningkat malam ini dengan sekurang-kurangnya 20,000 pengunjung dijangka hadir sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

“Kalau nasib baik, kita mungkin mencecah 70,000,” katanya.

Beliau berkata pada hari pertama penganjuran iaitu Jumaat, seramai 7,067 pengunjung direkodkan, manakala jumlah kehadiran pada hari kedua meningkat kepada 38,260 orang.

Sementara itu, kira-kira 2,500 pengunjung direkodkan sehingga tengah hari tadi.

Dato Haidar berkata peningkatan jumlah pengunjung itu menunjukkan penerimaan menggalakkan daripada masyarakat tempatan serta pengunjung dari luar Bintulu terhadap Pesta Tumbina.

Menurut beliau, populariti Pesta Tumbina juga semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selain tarikan baharu yang diperkenalkan khususnya pada waktu malam.

Beliau berkata pembukaan pada waktu malam itu akan dilaksanakan secara berkala bermula Oktober, dengan kekerapan dan pengisian seterusnya bergantung kepada sambutan pengunjung.

Oleh Faizah Muzidi