SARATOK: Masjid Silaturrahiim Kampung Kupang bakal menerima perhatian menerusi usaha menaik taraf beberapa bahagian masjid dan kawasan perkarangannya yang mengalami kerosakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Pengerusi Masjid Silaturrahiim Kampung Kupang yang berlangsung di Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka, di sini semalam.
Menurut beliau, pertemuan tersebut bertujuan meneliti beberapa keperluan berkaitan kerja-kerja menaik taraf bahagian dalam masjid yang mengalami kerosakan serta penambahbaikan kawasan perkarangan masjid.
Antara aspek yang turut diberi perhatian ialah kawasan letak motosikal yang memerlukan penambahbaikan bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah yang hadir ke masjid.
Mohamad Duri berkata, kemudahan masjid yang baik amat penting bagi memastikan masyarakat setempat dapat menjalankan aktiviti ibadah dalam suasana yang lebih selesa, selamat dan teratur.
“Hasil daripada pertemuan tersebut, saya bersetuju untuk membantu pihak jawatankuasa masjid bagi semua kerja-kerja yang berkaitan dengan naik taraf di dalam masjid dan kawasan perkarangan masjid tersebut,” katanya.
Beliau berkata, komitmen berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu memenuhi keperluan masyarakat setempat, khususnya dalam memastikan kemudahan awam dan rumah ibadah berada dalam keadaan baik.
Selain isu berkaitan kerja-kerja naik taraf, beberapa perkara lain turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut bagi mengenal pasti keperluan serta permasalahan yang dihadapi pihak pengurusan masjid.
Katanya, hasil perbincangan secara bersama itu membolehkan beberapa permasalahan dikenal pasti dengan lebih jelas selain mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan jemaah dan penduduk Kampung Kupang.
“Alhamdulillah, segala permasalahan dapat dikenal pasti dan dicari jalan penyelesaian terbaik,” katanya sambil berharap usaha berkenaan dapat memberi manfaat kepada seluruh komuniti yang menggunakan Masjid Silaturrahiim Kampung Kupang.
Oleh Adi Safarman




